Impian anak-anak Nor Aza naik kereta tercapai, keluarga bersyukur

Impian anak-anak Nor Aza naik kereta tercapai, keluarga bersyukur

NOR AZA Hamzah (tengah) bersama anak-anaknya dan Zuraini Kamal (dua kiri) bersama kereta Proton Saga terpakai yang dibelinya di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Dalam nada menahan sebak, Nor Aza Hamzah, 43, yang terpapar kisah hidupnya di Utusan Malaysia kelmarin, tidak henti-henti melafazkan ucapan terima kasih kepada orang ramai menyampaikan sumbangan hingga membolehkan membeli sebuah kereta Proton Saga terpakai demi keselesaan keluarga. 

Menurut ibu tunggal itu, sukar untuk dia menggambarkan apa yang dirasa apabila melihat anak-anaknya gembira menaiki kereta baharu yang dibelinya pada harga RM6,300 dari sebuah kedai menjual kereta terpakai di Jitra. 

Katanya, kereta itu cukup elok dan cantik baginya berbanding kereta Perodua Kancil digunakan sebelum ini, yang sudah terlalu uzur dan sering rosak di tengah jalan.   

“Alhamdulillah, saya tidak tahu bagaimana hendak ucap terima kasih kepada Utusan Malaysia yang memaparkan kisah saya serta rakyat Malaysia yang sudi memberi sumbangan. Bagi saya, Allah telah memakbulkan doa anak-anak saya untuk menaiki kereta baharu.

“Sebenarnya sewaktu kereta saya rosak di tengah jalan minggu lalu, anak kedua saya, Aina Aqilah, 10, ada bertanya berapa ringgit lagi yang saya perlukan untuk membeli kereta baharu? Lalu dia meminta saya untuk menggunakan wang simpanannya jika duit itu cukup untuk berbuat demikian.

“Saya cukup sebak mengenangkan perkara itu kerana saya tahu Aina kasihan melihat saya sering bersusah-payah apabila kereta rosak di tengah jalan. Tetapi semalam Alhamdulillah, Allah kabulkan hajatnya untuk menaiki kereta baharu hasil sumbangan orang ramai,” katanya. 

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan mengenai keperitan hidup dilalui Nor Aza yang terpaksa melakukan beberapa kerja antaranya menternak itik, menjual telur masin dan mengambil upah menyiang ikan keli bagi menyara kehidupan setelah suaminya, Mohd. Asri Zakaria meninggal dunia akibat kanser buah pinggang, dua tahun lalu. 

Nor Aza mempunyai empat anak berusia antara tiga hingga 11 tahun dengan seorang daripadanya iaitu Alim Ajwad, 7, disahkan menghidap autisme. Selain itu, dia turut menjaga ibu mentuanya, Aishah Salleh, 75, serta seorang ibu saudara yang mengalami masalah jiwa. 

Kesusahan hidup Nor Aza sekeluarga mendapat perhatian Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang pernah membantu arwah suaminya sebelum ini dengan pertubuhan bukan kerajaan itu turut melunaskan hutang tertunggak sebanyak RM3,000 untuk dua anaknya yang belajar di sebuah sekolah agama di Kubang Pasu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×