KUALA LUMPUR: Pertembungan dua kumpulan perhimpunan yang berbeza di Jalan Tuanku Abdul Rahman telah mencetuskan suasana tegang dalam kalangan peserta.
Pertembungan itu membabitkan peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah dengan peserta Himpunan Daulat Tuanku yang diadakan di lokasi sama.
Suasana tegang itu bagaimanapun hanya melibatkan pekikan dan laungan antara kedua-dua kumpulan.
Keadaan itu berlaku apabila peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah bergerak menuju ke Dataran Merdeka di sini sebelum melalui kawasan hadapan peserta Himpunan Daulat Tuanku.
Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal oleh anggota polis yang bertugas dan tidak melibatkan sebarang kejadian tidak diingini.
Peserta Himpunan Rakyat Benci Rasuah kemudiannya meneruskan pergerakan ke Dataran Merdeka sambil diiringi petugas keselamatan. – UTUSAN











