KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Sabah Electricity mempercepat usaha memulihkan bekalan elektrik di kawasan pantai timur Sabah.
Gangguan bekalan elektrik berpunca kejadian menara penghantaran elektrik tumbang di Ranau hingga menjejaskan lebih 150,000 penduduk di lapan daerah sejak beberapa hari lalu.
Beliau berkata, gangguan elektrik itu menyukarkan kehidupan penduduk, khususnya pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sambil menzahirkan rasa prihatin terhadap insiden itu, beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan kerja pemulihan perlu disegerakan bagi memastikan bekalan dapat disambung semula lebih awal daripada jadual.
Pada Khamis lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Saadiah Aziz memaklumkan grid elektrik berkenaan dijangka pulih sepenuhnya menjelang 2 Disember ini.
Anwar turut mengarahkan bekalan elektrik sementara disediakan dengan keutamaan diberikan kepada sekolah, pusat peperiksaan, serta kemudahan awam yang kritikal.
“Sabah Electricity perlu menyegerakan kerja pemulihan supaya bekalan dapat dipulihkan lebih awal daripada jadual.
“Bekalan elektrik sementara mesti disediakan dengan memberi keutamaan kepada sekolah, pusat peperiksaan dan kemudahan awam yang kritikal,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, kesan gangguan elektrik itu terhadap pelajar yang menduduki peperiksaan awam memerlukan perhatian khusus kerana setiap jam tanpa bekalan elektrik boleh menjejaskan persiapan mereka.
“Bencana mungkin sukar untuk dielakkan, namun kepantasan tindakan kita menentukan berapa lama rakyat terpaksa menanggung kesannya.
“Setiap jam amat bermakna buat mereka,” katanya.











