PETALING JAYA: Kesedaran sivik rakyat Malaysia terhadap kebersihan masih di tahap menyedihkan setelah keadaan di Dataran Merdeka yang menjadi lokasi tumpuan aksi final Piala Dunia 2026 antara Sepanyol dan Argentina ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hantaran di Facebook miliknya berkongsikan keadaan lokasi bersejarah negara itu selepas ditinggalkan puluhan ribu peminat bola sepak yang menyaksikan aksi final Piala Dunia 2026 awal pagi semalam.
Meluahkan kekecewaannya, DBKL menzahirkan kesedihan melihat keadaan Dataran Merdeka dipenuhi sampah pelbagai jenis oleh pengunjung.
“Awal pagi tadi, ribuan orang berhimpun untuk bersorak, meraikan bola sepak dan berkongsi kegembiraan. Namun apabila sorakan berakhir, padang bersejarah ini ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap.
“DBKL akan membersihkannya. Petugas kami akan turun mengutip apa yang ditinggalkan tetapi kebersihan Kuala Lumpur tidak seharusnya sentiasa bergantung pada orang lain yang datang membersihkan selepas kita pulang,” katanya.
Menurut DBKL, Dataran Merdeka merupakan lambang maruah dan sejarah negara, namun cara pengunjung memanfaatkannya telah mencerminkan bagaimana ia dihargai.
“Kita boleh meraikan dengan meriah. Kita boleh bersorak sepuasnya tetapi kebebasan untuk bergembira tidak pernah bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama.
“Kota yang hebat bukan hanya dinilai ketika orang ramai datang tetapi melalui keadaan yang mereka tinggalkan apabila pulang.
“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jagalah seperti kita menjaga rumah sendiri,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh meluahkan kekecewaan selepas Dataran Merdeka yang menjadi lokasi tayangan aksi final Piala Dunia 2026 ditinggalkan dengan penuh sampah sarap.
Dalam berterima kasih kepada DBKL yang bertungkus-lumus membersihkan sisa tinggalan peminat bola sepak, Hannah berkata, beliau percaya rakyat Kuala Lumpur amat sayangkan ibu kota tersebut.
Justeru, beliau menzahirkan kekecewaan apabila Dataran Merdeka yang menjadi lokasi sorakan dan kegembiraan ditinggalkan dalam keadaan sedemikian.
“Terima kasih kepada pasukan DBKL yang segera turun membersihkan kawasan ini. Ketika orang ramai sudah pulang, mereka masih bekerja untuk mengembalikan kebersihan dan keselesaan Dataran Merdeka.
“Ya, saya tahu setiap pembayar cukai berhak mendapat perkhidmatan yang baik. DBKL mesti menjalankan tanggungjawabnya dan mereka melakukannya.
“Tetapi membuang sampah ke dalam tong merupakan perkara asas yang sepatutnya kita lakukan sendiri,” katanya. – UTUSAN









