KUALA LUMPUR: Pelari Malaysia, Muhammad Haziq Mohd. Hairol Izmi merangkul gelaran juara kategori 10km lelaki bersempena penganjuran semula Maraton Standard Chartered Kuala Lumpur (KLSCM) di Dataran Merdeka hari ini, yang menyaksikan lebih 15,000 pelari membanjiri jalan-jalan di sekitar ibu negara pada hari pertama acara.
Muhammad Haziq mencatatkan masa 33 minit 54 saat untuk menjuarai kategori Terbuka Lelaki IHH 10km, menewaskan pelari Thailand, Aekkarat Meenamai yang menduduki tempat kedua dengan catatan 34:22.
Pelari Singapura, Ahmad Arif Ibrahim melengkapkan pentas pemenang di tempat ketiga dengan masa 34:57.
Bagi kategori Terbuka Wanita, Mercy Jebiwott dari Kenya mengungguli tempat pertama dengan catatan masa 37:00, menewaskan Serena Teoh Dong Xiang dari Singapura yang mencatat 39:41. Pelari Malaysia, Shayathiri Ratnam berada di tempat ketiga dengan masa 42:16.
Pihak penganjur memaklumkan lebih 11,500 pelari mengambil bahagian dalam acara 10km, manakala 4,400 lagi bersaing bagi kategori 5km sempena pengembalian penganjuran edisi ke-18 maraton berkenaan di Dataran Merdeka.
Bagi Muhammad Haziq, kemenangan tersebut amat bermakna memandangkan ia merupakan penyertaan sulungnya dalam kejohanan berkenaan.
“Ini adalah larian KLSCM pertama saya. Saya sentiasa memerhatikan pelari di hadapan untuk terus memecut, dan cuaca yang sejuk turut membantu,” kata pelari berusia 27 tahun itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak penganjur.
“Saya rasa sangat baik hari ini dan berharap dapat bertanding lagi di KLSCM tahun depan, mungkin dalam kategori Separuh Maraton atau Maraton Penuh,” katanya.
Bagi kategori Veteran Lelaki, Marcus Ong dari Singapura tampil sebagai juara dengan catatan masa 36:02, diekori dua pelari Malaysia, Lee Ching Keong (37:06) dan Yong Khong Wei (38:00) di tempat kedua dan ketiga.
Malaysia pula mendominasi sepenuhnya podium kategori Veteran Wanita menerusi Chua Mei Yin yang meraih gelaran juara (45:00), diikuti Foo Yin Yin di tempat kedua (46:49) dan Lim Pei Ting di tempat ketiga (47:17).
Acara 5km berunsur santai turut menceriakan suasana pagi apabila para peserta hadir dengan pelbagai kostum menarik termasuk watak Tyrannosaurus Rex serta watak inspirasi komik dan animasi.
Pengarah Projek KLSCM, Rainer Biemans berkata, pemilihan semula Dataran Merdeka sebagai lokasi penganjuran menambah lagi kemeriahan suasana.
“Saya percaya saya mewakili suara ramai pelari apabila menyatakan kami semua gembira dan teruja untuk kembali ke Dataran Merdeka,” katanya.
“Tenaga dan kehangatan di sini hari ini amat luar biasa dan kami bersyukur KLSCM 2026 dapat direalisasikan.”
Tumpuan kini beralih kepada acara Separuh Maraton dan Maraton Penuh yang bakal berlangsung esok, yang membawa keutamaan khusus bagi kategori lelaki tempatan.
Menurut penganjur, KLSCM kali ini bertindak sebagai acara saringan awal rasmi bagi menentukan wakil pelari maraton Malaysia ke Sukan SEA 2027.
Penganjuran tahun ini dijangka menarik penyertaan keseluruhan lebih 43,000 pelari dari Malaysia dan lebih 70 buah negara sepanjang minggu ini, dengan menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai sebanyak RM500,000.
Kejohanan ini turut mengekalkan pengiktirafan World Athletics Elite Label yang dicapai buat kali pertama pada tahun 2025. – UTUSAN











