PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah melepasi halangan awal, selepas mengetepikan pasangan China, Chen Fan Shu Tian-Luo Xu Min pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Grand Hall – Kai Tai Arena, Hong Kong, hari ini.
Gandingan No. 4 dunia itu mengambil masa selama 33 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-16 ke atas beregu ke-44 dunia tersebut.
Ini merupakan kejayaan sulung Pearly-Thinaah ke atas Shu Tian-Xu Min, memandangkan kedua-dua beregu belum pernah bertemu dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.
Pearly-Thinaah yang pernah merangkul gelaran pada edisi 2024 akan menghitung pertemuan dengan beregu tuan rumah, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam pada peringkat 16 terbaik, Khamis ini.
Dalam aksi beregu lelaki, gandingan profesional, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi menyingkirkan beregu muda Korea Selatan, Jin Yong-Jo Song Hyun 21-16, 18-21, 21-12 dalam masa 51 minit.
Pada pusingan seterusnya, Wei Jie-Ee Yi bakal berdepan beregu No. 3 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China.
Sementara itu, wakil perseorangan lelaki Malaysia, Justin Hoh masih belum mampu keluar daripada kemerosotan prestasi selepas langkahnya tersekat pada peringkat kelayakan.
Dalam kelayakan pertama, pemain berusia 22 tahun itu meraih kemenangan ke atas wakil Macau, Pui Pang Fong 21-15, 21-17 dalam masa 33 minit.
Bagaimanapun, pada kelayakan kedua, Justin terpaksa akur kepada Zhu Xuan Chen dari China 11-21, 21-14, 11-21 dalam masa 45 minit.
Nasib lebih baik dinikmati pemain profesional, Cheam Jun Wei yang mara ke undian utama selepas mencipta dua kemenangan pada sesi kelayakan.
Dalam perlawanan pertama, pemain ke-59 dunia itu menewaskan Cheng Ju Sheng dari Taiwan 21-10, 23-21 dan pada kelayakan kedua, Jun Wei menyingkirkan wakil tuan rumah, Usman Awan 21-14, 21-10 dalam masa 29 minit. – UTUSAN











