TEHERAN: Penyanyi Iran, Parastoo Ahmadi dan empat anggota pasukan produksinya masing-masing dikenakan 74 sebatan selepas didapati bersalah menghasilkan serta menyebarkan kandungan tidak bermoral di platform dalam talian.
Peguam Mostafa Nili berkata, kesemua mereka turut dikenakan larangan selama dua tahun daripada menjalankan aktiviti seni dan muzik serta melakukan perjalanan.
Menurut kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di Norway, Hengaw, hukuman itu susulan penyiaran sebuah video di YouTube pada Disember 2024 yang memaparkan Ahmadi mengadakan persembahan tanpa memakai hijab bersama sekumpulan pemuzik lelaki di Qom, selatan Teheran.
Negara Barat dan pertubuhan hak asasi manusia mengecam hukuman sebat sebagai satu bentuk penyeksaan serta pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Bagaimanapun, Iran menolak tuduhan berhubung rekod hak asasi manusianya dengan menyatakan negara Barat sepatutnya memberi perhatian kepada masalah hak asasi manusia di negara masing-masing.
Peraturan mewajibkan wanita memakai hijab menjadi antara isu utama yang mencetuskan demonstrasi pada 2022 susulan kematian wanita Kurdish Iran, Mahsa Amini, ketika dalam tahanan selepas ditahan atas dakwaan melanggar kod pemakaian.
Sejak itu, semakin ramai wanita tidak mematuhi peraturan berkenaan di jalanan Teheran dan kawasan lain, manakala penguatkuasaannya juga dilaksanakan secara lebih terpilih.- AGENSI











