DALAM dunia yang semakin bergantung pada sains dan teknologi, juga wajar dilihat daripada sudut lebih luas. Kita bukan sahaja rakyat sebuah negara merdeka, malah penghuni sebuah planet yang sangat istimewa, iaitu bumi.
Angkasa kelihatan tenang apabila dipandang dari bumi. Hakikatnya, persekitaran di luar planet ini amat mencabar untuk kehidupan manusia. Hampir tiada atmosfera untuk bernafas, tekanan menghampiri sifar, suhu berubah secara ekstrem, manakala radiasi dan zarah bertenaga tinggi boleh membahayakan manusia serta teknologi.
Tubuh manusia berkembang dalam persekitaran yang mempunyai graviti, atmosfera, oksigen, air dan julat suhu tertentu. Sebaliknya, vakum, plasma serta radiasi merupakan fenomena semula jadi alam semesta.
Menariknya, proses kosmik yang boleh membahayakan manusia turut menyumbang kepada pembentukan kehidupan. Tindak balas nuklear dalam bintang membekalkan tenaga, manakala matahari mempengaruhi iklim bumi dan membolehkan fotosintesis berlaku. Evolusi bintang juga menghasilkan unsur kimia seperti karbon, oksigen, kalsium dan besi yang menjadi asas kepada kehidupan.
Hal ini menunjukkan fenomena yang kelihatan berbahaya pada satu skala boleh menyumbang kepada kewujudan kehidupan pada skala lebih besar.
Bumi mempunyai gabungan keadaan semula jadi yang membolehkan kehidupan berkembang. Atmosfera menyediakan gas dan tekanan yang diperlukan, selain membantu mengawal suhu serta mengurangkan pendedahan kepada sebahagian radiasi berbahaya. Medan magnet pula melindungi planet ini daripada sebahagian kesan angin suria dan zarah bercas.
Gabungan air, tenaga matahari, graviti, komposisi kimia serta proses geologi dan biologi membentuk sistem yang saling berkaitan.
Walaupun ribuan planet di luar sistem suria telah ditemukan, bumi masih satu-satunya planet yang diketahui mempunyai kehidupan berdasarkan pengetahuan sains semasa.
Kita sering menganggap udara, air dan tanah sebagai perkara biasa. Namun, apabila dibandingkan dengan persekitaran kosmik, sumber yang menyokong kehidupan ini sebenarnya amat bernilai. Kesedaran tersebut sepatutnya mendorong kita memelihara alam sekitar.
Semakin jauh manusia meneroka angkasa, semakin jelas kebergantungan kita kepada bumi. Angkasawan memerlukan bekalan oksigen, air, tekanan udara, kawalan suhu dan perlindungan radiasi untuk terus hidup. Semua keperluan itu disediakan melalui teknologi yang membentuk sistem sokongan kehidupan buatan.
Manusia menjejakkan kaki di bulan dan menghantar kapal angkasa merentasi Sistem Suria. Namun, kita masih belum menemukan pengganti kepada bumi. Penerokaan angkasa sepatutnya meningkatkan penghargaan terhadap planet ini, bukannya mengurangkan keprihatinan terhadap kelestariannya.
Generasi terdahulu berjuang untuk membolehkan negara menentukan hala tujunya sendiri. Tanggungjawab generasi hari ini ialah menggunakan kebebasan tersebut bagi membina Malaysia yang berilmu, maju dan lestari.
Teknologi satelit kini penting dalam komunikasi, navigasi, ramalan cuaca, pengurusan bencana dan pemantauan alam sekitar. Namun, peningkatan aktiviti di orbit turut membawa risiko kesesakan, pelanggaran serta pertambahan serpihan angkasa. Oleh itu, pembangunan teknologi mesti disertai tadbir urus yang bertanggungjawab.
Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi pengguna teknologi. Kita perlu memperkukuh kepakaran, penyelidikan dan inovasi sendiri. Penguatkuasaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] pada 1 Januari 2025 merupakan antara langkah membina kerangka perundangan bagi aktiviti angkasa negara.
Bumi mungkin hanya titik kecil dalam keluasan alam semesta, namun setakat pengetahuan sains hari ini, inilah satu-satunya rumah yang diketahui mempunyai kehidupan. –UTUSAN
DR. MHD. FAIROS ASILLAM
Bahagian Penguasa Angkasa, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)











