SEBELUM istilah analitik tenaga kerja, automasi dan kecerdasan buatan (AI) diperkenalkan dalam pengurusan sumber manusia (HR), masyarakat Melayu sudah lama memahami gelagat manusia melalui peribahasa.
Walaupun ringkas, ungkapan tersebut sarat dengan pengajaran tentang sikap, tanggungjawab, hubungan dan penyesuaian diri.
Dalam organisasi moden, peribahasa Melayu sebenarnya masih relevan sebagai panduan memahami manusia di sebalik perubahan teknologi.
Peribahasa ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ menggambarkan kepentingan menyesuaikan diri dengan budaya organisasi. Pekerja bukan sahaja perlu mahir menggunakan teknologi, malah memahami nilai, etika dan prinsip tempat kerja. Kemajuan digital tidak seharusnya menghakis integriti serta akauntabiliti yang menjadi asas kepercayaan.
Begitu juga dengan ungkapan ‘Sediakan payung sebelum hujan’ yang mencerminkan kepentingan perancangan awal. Organisasi tidak seharusnya menunggu masalah berlaku sebelum meningkatkan kemahiran pekerja, menyediakan pelan penggantian atau menangani isu kesejahteraan tenaga kerja. Analisis keperluan latihan dan pembangunan bakat perlu dilaksanakan lebih awal bagi memastikan organisasi bersedia menghadapi perubahan.
Sementara itu, peribahasa ‘Telur sesangkak, pecah satu pecah semua’ menggambarkan hubungan saling bergantung dalam sesebuah organisasi. Kesilapan individu boleh menjejaskan prestasi pasukan, manakala tindakan tidak berintegriti berpotensi merosakkan reputasi keseluruhan organisasi. Oleh itu, komunikasi dan akauntabiliti perlu diperkukuh, terutama dalam persekitaran kerja hibrid.
Ungkapan ‘Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’ pula membawa maksud kepentingan kerjasama dan pembahagian tanggungjawab.
Dalam organisasi moden, delegasi bukan sekadar menyerahkan tugas tetapi turut memberikan kuasa, kejelasan peranan dan kepercayaan kepada pekerja untuk membuat keputusan.
Peribahasa ‘Biar lambat asal selamat’ turut mempunyai kaitan dengan penggunaan teknologi.
Keputusan berkaitan data peribadi, hak pekerja dan pematuhan dasar memerlukan penelitian. Kepantasan automasi tidak seharusnya mengatasi ketepatan, etika dan integriti. Teknologi boleh mempercepatkan proses tetapi manusia tetap bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.
Nenek moyang mungkin tidak mengenali istilah analitik HR atau AI, namun kebijaksanaan mereka tentang manusia kekal relevan. Organisasi masa hadapan bukan sahaja memerlukan sistem yang semakin pintar, malah kepimpinan yang mampu mengekalkan nilai kemanusiaan, empati dan kepercayaan dalam mengurus tenaga kerja. -UTUSAN
AINUL FADZILAH HARUN & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Rembau











