KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memperkukuh agenda hak asasi manusia negara termasuk meneliti syor dan pandangan dikemukakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, hak asasi manusia adalah asas bagi pembentukan masyarakat aman, inklusif dan sejahtera.
Menurut beliau, ia juga selaras ketetapan berhubung hak asasi manusia setiap individu di negara ini yang dijamin di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, beliau juga menggesa supaya syor, pandangan dan cadangan terkandung dalam Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suhakam 2024 (Kertas Statut 102 Tahun2026) diberi perhatian oleh semua pihak.
“Ini bagi memperkukuh kerjasama rentas kementerian dan agensi dalam memastikan pelaksanaan setiap syor, pandangan dan cadangan laporan berkenaan secara berkesan.
“Perkara ini dibangkitkan dalam Kertas Statut 102 Tahun 2026, termasuk berkaitan hak pekerja, kumpulan rentan, kanak-kanak, wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta isu sosial dan ekonomi berkaitan.
“Kerajaan juga akan terus meneliti syor dikemukakan Suhakam dan memperkukuh kerjasama dengan semua kementerian, agensi serta pihak berkepentingan bagi memastikan agenda hak asasi manusia terus diperkasakan, selaras aspirasi Malaysia Madani” katanya ketika membentangkan laporan itu di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, sebanyak 1,074 aduan diterima Suhakam dengan 41 peratus kes diselesaikan sepanjang 2024 selain menyaksikan penguatkuasaan Akta Suhakam (Pindaan) 2024
Kata beliau, pindaan akta berkenaan bertujuan memperkukuh mandat Suhakam termasuk melalui penubuhan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak.
Azalina berkata, hak asasi manusia adalah agenda rentas sektor yang memerlukan komitmen seluruh masyarakat, selain kerajaan bagi tujuan sama akan terus memperkukuh pendekatan whole-of -government dan whole-of-society. – UTUSAN










