Malaysia tidak bersikap neutral isu hak asasi

Malaysia tidak bersikap neutral isu hak asasi

ANWAR Ibrahim ketika sidang Meja Bulat Asia Pasifik Ke-39 di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan bersikap neutral dalam isu membabitkan hak asasi manusia sejagat dan kepentingan teras nasional walaupun kekal mengamalkan dasar luar yang bebas, tegas, proaktif serta tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu merangkumi sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin, usaha membanteras Islamofobia serta mempertahankan kedaulatan wilayah negara, walaupun melibatkan rakan strategik seperti China dan Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, Malaysia juga tidak akan teragak-agak untuk menetapkan pendirian, menjalin hubungan serta menyokong sebarang inisiatif yang memajukan nilai, pegangan dan kepentingan negara.

Katanya, pendekatan tersebut bukan sekadar meneruskan legasi dasar luar negara sebaliknya dirangka berdasarkan kepentingan nasional dan keperluan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap geopolitik semasa.

“Pendekatan ini bukan sekadar berpegang kepada warisan lampau sebaliknya adalah pendekatan yang terancang, mengambil kira siapa kita, dari mana kita datang, apa yang membawa manfaat kepada negara dan bagaimana kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

“Kita berpegang kepada pendirian berprinsip tetapi tidak memihak, termasuk sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap penyelesaian pertikaian secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam sidang Meja Bulat Asia Pasifik Ke-39 di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun Malaysia mengamalkan dasar luar yang bebas dan menjalin hubungan baik dengan semua negara namun terdapat isu-isu prinsip yang menuntut negara menyatakan pendirian secara jelas dan tegas.

“Malaysia tidak boleh kekal neutral dalam perkara yang melibatkan hak asasi manusia seperti perjuangan Palestin atau usaha menangani Islamofobia.

“Begitu juga dalam kepentingan teras nasional kita, termasuk kedaulatan wilayah, walaupun ia melibatkan rakan kongsi yang berkuasa seperti China dan Amerika Syarikat,” katanya.

Ujarnya, pendirian itu menjadi semakin penting ketika dunia berdepan konflik berpanjangan di Gaza, Ukraine dan Sudan yang terus meragut nyawa orang awam.

Selain memperlihatkan kegagalan masyarakat antarabangsa mempertahankan prinsip undang-undang dan norma yang sekian lama menjadi asas kepada keamanan global.

“Kita mengambil pendirian dan kedudukan yang berprinsip, bukannya memihak. Ini lebih mudah diperkatakan daripada dilaksanakan. Kita kadangkala diharapkan untuk mengambil pendirian tegas terhadap jiran kita, China. Tetapi kita telah katakan, tidak.

“Kita akan terus memupuk persahabatan. Malaysia masih mencatatkan AS sebagai destinasi pelaburan dan perdagangan nombor satu, namun pada masa yang sama, kita kekal agresif dan terlibat secara lebih berkesan dengan China sebagai jiran ekonomi yang semakin berkembang dan penting buat kita,” katanya

Beliau turut menekankan sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap penyelesaian pertikaian secara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Tegasnya, penggunaan kekerasan atau paksaan, sama ada daripada sudut ketenteraan mahupun ekonomi hanya akan memburukkan lagi keadaan dan mendatangkan kesan yang tidak diingini.

“Norma-norma seperti kebebasan pelayaran, menghormati kedaulatan, dan pematuhan kepada kerangka undang-undang yang telah ditetapkan adalah sangat penting untuk keselamatan serantau dan global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN