KUALA LUMPUR: Akta Kerja 1955 jelas memperuntukkan gaji minimum kepada semua pekerja tanpa mengira warganegara sekali gus menegaskan prinsip hak asasi manusia dalam perundangan buruh negara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, gaji minimum bukan sekadar angka dalam warta kerajaan, tetapi lambang nilai kemanusiaan yang memastikan perlindungan terhadap pekerja.
“Jika kita menafikan hak gaji minimum kepada pekerja asing, kesannya bukan sahaja kepada mereka tetapi turut menjejaskan pekerja tempatan. Apabila gaji pekerja asing ditekan rendah, kadar gaji pasaran buruh akan ditanda aras pada tahap sama.
“Majikan akan mengutamakan pekerja asing sekali gus menurunkan gaji anak tempatan. Inilah persaingan tidak adil yang akhirnya merugikan rakyat kita sendiri,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Chee Keong turut menjawab pandangan Ahli Parlimen Bagan yang berpendapat pekerja asing tidak perlu dibayar gaji minimum.
Menurut beliau, daripada lebih kurang 4.37 juta pekerja yang bergaji di bawah RM1,700 sebelum pelaksanaan kadar gaji minimum baharu, 80 peratus adalah pekerja tempatan.
“Justeru, kenaikan gaji minimum sebenarnya memberi manfaat paling besar kepada rakyat Malaysia. Statistik menunjukkan pekerja Malaysia bergaji sepuluh persentil terbawah telah mengalami peningkatan gaji sehingga 60 peratus dalam tempoh 10 tahun pelaksanaan mekanisme gaji minimum.
“Sistem perburuhan negara perlu memastikan semua pekerja mendapat perlindungan adil agar manfaat ekonomi dirasai secara saksama tanpa menindas mana-mana golongan,” katanya. – UTUSAN










