KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengesyorkan siasatan berasingan dijalankan terhadap anggota Penjara Taiping yang didakwa terlibat dalam tindakan kekerasan terhadap Tahanan Mahkamah Tinggi (TMT) semasa insiden pada 17 Januari tahun lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunus berkata, panel inkuiri awam turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan laporan polis palsu dibuat pihak pengurusan dan anggota penjara berhubung kejadian berkenaan.
Katanya, tindakan undang-undang dan tatatertib juga dicadangkan terhadap anggota penjara yang dikenal pasti terlibat dalam perbuatan kekerasan terhadap tahanan terbabit.
“Panel berpendapat tindakan segera perlu diambil kerana insiden tersebut disokong rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) serta keterangan saksi yang menyaksikan kejadian itu secara langsung.
“Tindakan itu penting bagi memastikan keadilan dapat diberikan kepada mangsa dan keluarga selain menegaskan tiada mana-mana pihak boleh terlepas daripada tanggungjawab undang-undang,” katanya semasa Pengumuman Keputusan Inkuiri Awam: Insiden Penjara Taiping di Pejabat Suhakam, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Hishamudin berkata, panel turut mencadangkan penubuhan Kementerian Keadilan bagi menyelaras serta menilai semula keseluruhan sistem keadilan jenayah negara termasuk proses pendakwaan, kehakiman dan pelaksanaan hukuman.
Katanya, cadangan itu turut melibatkan penstrukturan semula Jabatan Penjara Malaysia di bawah kementerian berkenaan bagi memastikan pendekatan lebih berkesan dalam menangani isu kesesakan penjara.
Selain itu, katanya, panel juga mengesyorkan penggunaan ‘bucket system’ dimansuhkan di semua institusi penjara kerana bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia selain menjejaskan kesihatan dan maruah tahanan.
“Kerajaan disaran membina penjara baharu bagi menggantikan Penjara Taiping memandangkan statusnya sebagai bangunan warisan mengehadkan pengubahsuaian struktur selain tidak lagi sesuai digunakan untuk penempatan banduan.
“Kerajaan juga disyor meratifikasikan Konvensyen Menentang Penyeksaan (UNCAT) serta menggubal undang-undang yang memperuntukkan secara jelas bahawa sebarang bentuk penyeksaan termasuk layanan atau hukuman yang tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah sebagai suatu kesalahan jenayah,” katanya. – UTUSAN










