Tiga kanak-kanak maut akibat anjing sejak 2023

Tiga kanak-kanak maut akibat anjing sejak 2023

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak maut akibat serangan atau gigitan anjing sejak 2023, sekali gus menggesa keperluan untuk pihak berkuasa mengenal pasti kawasan tumpuan atau hotspot anjing liar berkeliaran.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berkata, insiden membabitkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang diserang lima ekor anjing liar di Batu Pahat, Johor baru-baru ini tidak boleh dilihat sebagai kejadian terpencil.

Katanya, semakan mendapati sekurang-kurangnya lapan kes serius membabitkan kanak-kanak diserang atau digigit anjing berkeliaran atau anjing liar dilaporkan sejak 2023, termasuk yang menyebabkan kematian.

“Ini termasuk serangan yang melibatkan kanak-kanak yang sangat muda di Pitas, Klang, Semporna, Langkawi, Sungai Buloh dan Cheras, serta insiden terbaru di Batu Pahat.

“Satu kes berasingan di Kuching pada tahun 2026 melibatkan seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang meninggal dunia akibat gigitan anjing dan jangkitan rabies seterusnya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, pesuruhjaya itu berkata, sekurang-kurangnya tiga kematian kanak-kanak dapat dikenal pasti daripada laporan media yang disemak iaitu di Semporna pada 2024, Sungai Buloh (2025) dan Kuching (2026).

Katanya, walaupun semakan itu tidak boleh dianggap sebagai statistik kebangsaan yang komprehensif, kerentanan kanak-kanak yang terlibat amat membimbangkan.

“Sesetengah mangsa berusia seawal satu atau dua tahun. Insiden yang dilaporkan berlaku bukan sahaja di lokasi terpencil, tetapi di dalam atau berhampiran rumah, kawasan perumahan dan tempat yang berkaitan dengan aktiviti harian kanak-kanak.

“Di Klang, contohnya, seorang budak perempuan berusia 11 tahun dilaporkan diserang oleh dua ekor anjing semasa membuang sampah dan memerlukan pembedahan.

“Di Cheras, seorang budak lelaki berusia enam tahun diserang semasa menunggang basikal berhampiran rumahnya,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan pemetaan kawasan hotspot anjing berkeliaran, terutama di lokasi yang mempunyai aduan berulang membabitkan anjing agresif atau berkeliaran.

Katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta kerajaan negeri perlu bekerjasama dengan PBT dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk mewujudkan standard tindak balas berasaskan risiko yang lebih jelas.

“Memetakan dan mengenal pasti kawasan hotspot, mengutamakan kawasan yang kerap digunakan oleh kanak-kanak. Mengutamakan aduan yang melibatkan sekumpulan anjing atau anjing agresif di sekitar rumah, sekolah, taman permainan dan lokasi sensitif kanak-kanak yang lain.

“Selain itu, mewujudkan SOP dan prosedur eskalasi yang jelas daripada aduan dan penilaian risiko kepada intervensi, maklum balas dan pemantauan susulan. Menjalankan operasi proaktif dan terkoordinasi antara PBT-DVS dan bukannya menunggu sehingga serangan serius berlaku,” katanya.

Tambahnya, data kebangsaan mengenai serangan haiwan yang melibatkan kanak-kanak, termasuk umur, lokasi, tahap keseriusan kecederaan, keputusan berkaitan rabies dan hasil intervensi juga perlu diperkukuhkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×