PETALING JAYA: Atlet negara dituntut membalas kenaikan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan pencapaian lebih cemerlang dan konsisten di pentas antarabangsa, terutama menjelang Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Arrifin Mohd. Ghani berkata, peningkatan insentif bagi acara berpasukan yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan atlet negara.
Menurutnya, kenaikan ganjaran berkenaan bukan sahaja bertujuan menghargai kejayaan atlet, malah diharap menjadi pembakar semangat untuk mereka terus meningkatkan prestasi dalam setiap kejohanan yang disertai.
“Peningkatan kadar insentif ini adalah bukti betapa Kerajaan, menerusi MSN, serius dalam langkah menjamin yang terbaik kepada atlet negara dan diharap dapat meningkatkan motivasi atlet untuk menghasilkan prestasi terbaik di pentas saingan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menerusi kadar baharu SHAKAM, setiap atlet dalam pasukan yang memenangi pingat emas bakal menerima RM40,000 berbanding RM15,000 sebelum ini, iaitu peningkatan sebanyak RM25,000.
Manakala, bagi pemenang pingat perak pula, insentif dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM20,000, manakala pemenang gangsa menerima RM10,000 berbanding RM4,000 sebelum ini.
“Kadar ganjaran baharu itu terpakai kepada setiap anggota pasukan yang meraih pingat tanpa mengira jumlah pemain dalam pasukan berkenaan,” katanya
Dalam pada itu, Arrifin berkata, MSN akan terus meneliti ganjaran lain di bawah SHAKAM bagi memastikan atlet serta jurulatih negara mendapat sokongan sewajarnya dalam usaha meningkatkan pencapaian sukan negara.
“MSN juga akan terus meneliti ganjaran lain dalam SHAKAM untuk memastikan atlet dan jurulatih kita terus mendapat sokongan yang sewajarnya, terutama sebagai persiapan untuk Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berharap peningkatan insentif itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh atlet negara sebagai dorongan untuk mempamerkan prestasi terbaik, sekali gus membantu Malaysia mencapai kejayaan pada kedua-dua temasya berkenaan. – UTUSAN











