KUALA LUMPUR: Empat pelumba skuad pecut berpasukan wanita negara bakal menikmati ganjaran dua kali ganda susulan keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menaikkan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan.
Mereka yang meraih pingat perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 ialah Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, Nur Alyssa Mohd Farid, Anis Amira Rosidi dan Nurul Aliana Syafika Azizan.
Menerusi kadar baharu itu, setiap pelumba akan menerima RM20,000 berbanding RM10,000 sebelum ini, sekali gus menyaksikan jumlah ganjaran bagi pasukan berkenaan meningkat daripada RM40,000 kepada RM80,000.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menyifatkan keputusan itu sebagai pengiktirafan wajar terhadap pengorbanan atlet yang berjuang dalam acara berpasukan.
Beliau berkata, kenaikan tersebut juga hadir pada masa tepat untuk menyuntik semangat pelumba muda negara menjelang Sukan SEA 2027 dan kitaran kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
“Langkah ini tepat pada masanya dan adil kepada atlet acara berpasukan kerana ia mengiktiraf usaha mereka secara saksama, selain memberi dorongan kepada pelumba muda kita menjelang Sukan SEA 2027 dan kitaran kelayakan Los Angeles 2028,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) berkata, kadar ganjaran acara berpasukan tidak pernah berubah selama 24 tahun sebelum KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju melaksanakan penambahbaikan berkenaan.
“Kenaikan ini dipersetujui hanya seminggu selepas Majlis Penyampaian SHAKAM pada 3 November lalu, sekali gus menunjukkan keprihatinan Menteri dan Kementerian terhadap atlet acara berpasukan negara,” katanya.
Selain perak, insentif bagi setiap atlet pemenang emas meningkat daripada RM15,000 kepada RM40,000, manakala gangsa daripada RM4,000 kepada RM10,000.
Kadar baharu itu terpakai kepada semua pasukan tanpa mengira jumlah ahli, termasuk pemenang pingat pada 2026, sekali gus menjadi kenaikan pertama insentif acara berpasukan sejak kadar berkenaan ditetapkan pada 2002.
Secara keseluruhan, empat pelumba berbasikal negara akan menerima tambahan RM40,000, manakala jurulatih turut mendapat tambahan RM8,000 menerusi Skim Galakan Jurulatih (SGAR), menjadikan jumlah keseluruhan RM48,000. – UTUSAN











