BAKU: Bintang Barcelona, Anthony Gordon meleburkan rekod Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema selepas berjaya meledakkan dua gol ketika membantu kelab gergasi Sepanyol itu membelasah Azerbaijan, Sabah 4-1 dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.
Pemain sayap England itu muncul pemain pertama dalam sejarah pertandingan berkenaan yang menjaringkan enam gol di tempat lawan dalam negara sama sepanjang satu tahun kalendar.
Gordon sebelum ini meledakkan empat gol ketika membantu Newcastle United menewaskan Qarabag 6-1 di Azerbaijan pada Februari lalu, sebelum menambah dua lagi jaringan bersama Barcelona.
Rekod terdahulu yang dipegang Ronaldo dan Benzema yang masing-masing meledak lima gol bersama Real Madrid di Turkiye pada 2013 dan England pada 2022.
Gordon turut mengatasi rekod Harry Kane yang menjaringkan lima gol di Cyprus untuk muncul pemain England dengan jaringan terbanyak di tempat lawan dalam sebuah negara sepanjang sejarah Liga Juara-Juara.
Pemain berusia 25 tahun itu yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan mengakui Baku mempunyai tempat istimewa dalam kariernya.
“Walaupun ketika kami mendahului 3-0, kami tidak berhenti menyerang. Kami terus berusaha untuk menjaringkan gol. Itulah corak permainan kami dan saya fikir ia sangat penting.
“Baku mungkin tempat yang sangat istimewa buat saya. Saya sepatutnya boleh menjaringkan satu lagi hatrik malam ini, tetapi mensia-siakan peluang itu dengan kaki kiri,” kata Gordon.
Barcelona akan bertandang ke gelanggang Deportivo dalam saingan La Liga, Ahad ini sebelum menerima kunjungan Manchester City di Camp Nou dalam aksi Liga Juara-Juara pada 8 Disember depan. – AGENSI











