Trump teruskan kenaikan tarif demi ‘kuasa’

Trump teruskan kenaikan tarif demi ‘kuasa’

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tetap meneruskan dasar kenaikan tarif import meskipun langkah itu diketahui menyumbang kepada kekalahan Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal tiga minggu lalu susulan kebimbangan pengundi terhadap ekonomi dan inflasi.

Pentadbiran Trump pada Rabu mengumumkan pusingan baharu tarif terhadap barangan dari 14 rakan dagang utama, termasuk China, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU), mencerminkan kepercayaan Trump terhadap dasar perlindungan perdagangan yang sekian lama diperjuangkannya serta realiti politik baharu yang dihadapi Rumah Putih.

Ketika Parti Demokrat dijangka menguasai Kongres bagi baki dua tahun pentadbiran Trump, tarif semakin penting sebagai antara instrumen ekonomi paling berkuasa yang boleh digunakan Presiden AS itu tanpa memerlukan kelulusan penggubal undang-undang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tarif merupakan cukai yang dikenakan terhadap barangan import sehingga meningkatkan kos kepada pengguna. 

Namun, Trump melihat langkah itu sebagai cara untuk mendapatkan konsesi daripada pemimpin asing, memaksa ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat membina kilang di AS, menambah hasil kerajaan serta meraih sokongan pengundi golongan pekerja, menurut pegawai AS dan individu yang mengetahui pendirian beliau

Menurut Reuters, selepas kekalahan besar partinya dalam pilihan raya pertengahan penggal yang mengancam untuk mengehadkan agenda domestiknya, Trump mahu membuktikan beliau masih mampu menentukan dasar ekonomi dan menggunakan kuasanya meskipun pengaruhnya dalam proses perundangan semakin berkurangan.

“Semua ini disebabkan tarif. Tempoh peralihan ini pasti akan disertai sedikit kesukaran,” kata Trump kepada CNBC pada Isnin ketika mempromosikan pembinaan kilang baharu di AS. Bagaimanapun, beliau mengakui dasar itu mungkin mendatangkan kesan tertentu.

Dua pertiga pengundi berpendapat dasar tarif Trump menjejaskan ekonomi negara, berbanding 21 peratus yang menyifatkannya membantu manakala 12 peratus lagi berkata, tiada perbezaan, menurut tinjauan keluar yang dijalankan SSRS bagi pihak gabungan beberapa organisasi media AS.

Makmal Belanjawan Universiti Yale menganggarkan awal bulan ini, tarif meningkatkan perbelanjaan isi rumah di AS sebanyak AS$900 (RM3,706) setahun.

Bagaimanapun, pentadbiran Trump tetap mencadangkan tarif baharu yang akan meningkatkan kadar duti terhadap barangan import tertentu sehingga 20 hingga 40 peratus, meskipun perjanjian perdagangan yang sudah dimuktamadkan atau masih dalam rundingan secara amnya mengehadkan kadar itu kepada 10 hingga 20 peratus.

Ketua perunding perdagangan Trump, Jamieson Greer mengumumkan langkah itu tanpa publisiti besar pada Rabu, sehari sebelum sambutan Hari Kesyukuran di AS.

Trump sendiri tidak mengeluarkan sebarang kenyataan umum mengenai tindakan terbaharu itu, berbeza dengan pengumuman tarif Hari Pembebasan yang dibuatnya di Taman Rose, Rumah Putih, tahun lalu.

Parti Demokrat mengecam pengumuman berkenaan dengan menuduh Trump sengaja mengetepikan kemarahan pengundi terhadap kos sara hidup dan inflasi yang tinggi.

Beberapa anggota Demokrat turut berhujah tindakan mengenakan tarif terhadap negara sekutu tidak banyak membantu mengekang amalan perdagangan agresif China.

“Parti Republikan tidak belajar apa-apa,” kata bakal Ketua Majoriti Dewan Perwakilan, Katherine Clark, dari Massachusetts menerusi platform X.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini