PETALING JAYA: Sime Darby Berhad (Sime) mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 18.8 peratus tahun ke tahun kepada RM398 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2026.
Kumpulan itu turut merekodkan hasil berjumlah RM16.7 bilion bagi suku yang dilaporkan, manakala pulangan atas ekuiti (ROE) teras tahunan mencapai 8.1 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, portfolio perniagaan yang pelbagai merentasi pelbagai sektor dan kawasan geografi terus memperkukuh daya tahan kumpulan meskipun berdepan keadaan pasaran mencabar di China dan Australia.
Beliau berkata, walaupun pelanggan dalam segmen Perindustrian masih menangguhkan perbelanjaan, keadaan itu dilihat sebagai cabaran jangka pendek memandangkan buku pesanan kumpulan terus berkembang di Australia dan pasaran lain.
“Kami juga melihat potensi pertumbuhan kukuh dalam perniagaan sistem kuasa, dipacu permintaan yang semakin meningkat daripada sektor pusat data.
“Dalam sektor Automotif, kami melihat potensi pertumbuhan dalam segmen EV, khususnya di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.
Prestasi itu disokong terutamanya oleh sumbangan kukuh bahagian UMW yang mencatatkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM432 juta, meningkat 65.5 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Beliau berkata, permulaan pemasangan tempatan kenderaan BYD menandakan pencapaian penting dalam pakatan strategik kumpulan dengan pengeluar kenderaan elektrik dari China itu, selain mengukuhkan kedudukan Sime dalam pasaran EV Malaysia yang semakin berkembang.
Bahagian UMW turut memperoleh keuntungan RM148 juta daripada aktiviti pembangunan hartanah perindustrian di Taman Perindustrian Serendah.
Sementara itu, bahagian Perindustrian merekodkan PBIT sebanyak RM219 juta, lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, terutamanya disebabkan sumbangan yang berkurangan daripada operasi sokongan produk di Australasia.
Bagaimanapun, bahagian itu terus mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap sistem kuasa bagi pusat data di China, dengan sumbangan lebih tinggi daripada penyerahan produk sepanjang suku yang dilaporkan.
Bahagian Automotif pula mencatatkan PBIT sebanyak RM117 juta, sedikit rendah berbanding suku sama tahun sebelumnya berikutan kerugian operasi lebih tinggi di Tanah Besar China susulan persaingan pasaran yang semakin sengit dan pemberian diskaun besar.
Namun, prestasi bahagian itu disokong sumbangan kukuh daripada pasaran Singapura dan Malaysia, termasuk keuntungan lebih tinggi daripada penjualan kenderaan elektrik (EV).
Mengulas prospek, Jeffri berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya saing perniagaan teras dan meningkatkan kecekapan operasi.
Katanya, kekuatan asas perniagaan kumpulan kekal kukuh, manakala peluang pertumbuhan pada masa hadapan terus memberikan prospek yang menggalakkan. – UTUSAN











