KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu barisan kepimpinan dan ahli jawatankuasa esksekutif baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberikan lebih tumpuan untuk memajukan kembali sukan bola sepak Kelantan.
Presiden FAM, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, pihaknya juga berharap agar semua pihak termasuk pemegang taruh memainkan peranan untuk mengembalikan kemeriahan bola sepak Kelantan selepas ini.
Menurutnya, sehubungan itu barisan kepimpinan dan ahli jawatankuasa eksekutif KAFA serta pihak-pihak berkaitan perlu terus memberikan tumpuan kepada usaha memajukan aktiviti dan perancangan pembangunan bola sepak negeri.
“Kelantan merupakan negeri yang melahirkan ramai bintan bola sepak negara suatu ketika dahulu, malah pernah menjadi antara pasukan terkuat dalam liga utama negara serta menjulang banyak kejuaraan termasuk Piala Malaysia dan Piala FA.
“Kita harap barisan kepimpinan baharu KAFA akan mendapat sokongan daripada semua pihak yang dapat membantu mereka dalam mengembalikan semula kegemilangan Kelantan dalam sukan bola sepak,” katanya kepada media ketika ditemui selepas Kongres Luar Biasa KAFA, di sini hari ini.
Beliau menegaskan, pembangunan sukan bola sepak negeri sememangnya menjadi matlamat utama di sebalik usaha menghidupkan kembali KAFA sebagai badan induk bola sepak negeri yang tentunya akan turut memberi manfaat di peringkat kebangsaan.
Katanya, barisan kepimpinan baharu KAFA juga dilihat lebih segar apabila dibarisi ahli jawatankuasa eksekutif merangkumi pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
“Ini satu gambaran yang amat baik, sekali gus mewujudkan pelapis untuk meneruskan kesinambungan KAFA sendiri dan ini memang menjadi matlamat FAM sendiri sejak beralih kepada kepimpinan baharu.
“Selepas kita berjaya mengembalikan kepimpinan bola sepak di Kelantan dan menghidupkan semula KAFA, kita akan beralih kepada Perlis untuk cuba menghidupkan kembali Persatuan Bola Sepak Perlis (Perlis FA) yang turut digantung oleh FAM,” ujarnya. – UTUSAN











