Letupan besar di loji minyak Bangkok, sembilan cedera

Letupan besar di loji minyak Bangkok, sembilan cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BANGKOK: Letupan besar menggegarkan sebuah loji minyak di Bangkok pada Khamis, mengakibatkan sembilan orang cedera, dengan tiga daripada mereka dalam keadaan kritikal, menurut pihak berkuasa Thailand.

Letupan itu begitu kuat sehingga menyebabkan pintu rumah bergegar beberapa kilometer dari lokasi kejadian, menurut wartawan AFP yang melihat api menjulang tinggi di atas loji itu, diikuti kepulan asap hitam tebal.

Menteri Tenaga Thailand, Akanat Promphan yang mengunjungi lokasi kejadian berkata, letupan itu mencetuskan kebimbangan kerana kawasan loji Phra Khanong yang luas di timur Bangkok turut terletak berhampiran kawasan kediaman.

Bagaimanapun, beliau memberitahu pemberita kebakaran dipercayai bermula di menara penyulingan yang terletak sekurang-kurangnya 100 meter dari depot minyak, sekali gus mengehadkan kerosakan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Konglomerat tenaga Thailand, Bangchak Corporation yang mengendalikan loji itu berkata, keadaan berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit. Punca kejadian masih disiasat, menurut kenyataan syarikat itu.

Syarikat berkenaan kemudian memaklumkan pemantauan kualiti udara di sekitar kilang penapisan menunjukkan paras normal.

Akanat berkata, pihak berkuasa turut menjalankan ujian bagi mengesan karbon monoksida, sulfur dioksida dan bahan pencemar lain dalam radius satu kilometer dari loji itu, namun tiada bacaan luar biasa dikesan.

“Bagaimanapun, kerajaan menggantung operasi kilang itu sehingga Kementerian Tenaga yakin ia boleh beroperasi semula tanpa sebarang masalah,” katanya.

Polis memberitahu AFP pelajar dari sekolah berhampiran telah dipindahkan, manakala penduduk turut diminta meninggalkan kawasan berkenaan.

Pusat Perubatan Kecemasan Erawan yang dikendalikan pihak berkuasa bandar Bangkok melaporkan sembilan orang cedera, termasuk tiga dalam keadaan kritikal, berbeza daripada penilaian awal.

Asap hitam turut menyelubungi ruang udara ibu kota Thailand sejurus selepas letupan berlaku.

Amaran yang dihantar ke telefon bimbit penduduk di seluruh Bangkok oleh pihak berkuasa bandar menggesa orang ramai menjauhi kawasan kejadian.

Laman web Bangchak Corporation menyifatkan loji itu sebagai kompleks kilang penapisan moden dengan kapasiti maksimum 120,000 tong sehari.

Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata, beliau sedang memantau perkembangan kejadian itu pada Khamis, sambil menegaskan masih terlalu awal untuk menentukan pihak yang bertanggungjawab.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini