Ge-Shen catat hasil RM123 juta, PBT melonjak 22.5 peratus

Ge-Shen catat hasil RM123 juta, PBT melonjak 22.5 peratus

Dr. Adrian Foong Hong Nian
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ge-Shen Corporation Berhad (Ge-Shen) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 12.3 peratus kepada RM122.97 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Suku Ketiga TK2026), berbanding RM109.48 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi memberangsangkan itu turut menyaksikan keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 22.5 peratus kepada RM12.13 juta daripada RM9.90 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) berkembang 13.4 peratus kepada RM8.52 juta berbanding RM7.51 juta sebelumnya.

Peningkatan prestasi kumpulan penyedia penyelesaian kejuruteraan dan pembuatan jitu itu didorong sumbangan lebih tinggi daripada operasi teras, khususnya penglibatan dalam pengeluaran produk berkaitan kecerdasan buatan (AI), optik dan aplikasi perindustrian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkembangan itu mencerminkan usaha berterusan Ge-Shen untuk beralih kepada segmen pembuatan bernilai lebih tinggi, selain memperkukuh portfolio menerusi penghasilan produk yang lebih kompleks dan berkualiti tinggi.

Bagi perbandingan suku ke suku, hasil kumpulan meningkat 14.5 peratus kepada RM122.97 juta berbanding RM107.41 juta pada suku kedua TK2026.

PBT turut meningkat 13.1 peratus daripada RM10.72 juta kepada RM12.13 juta, manakala PAT berkembang 3.7 peratus kepada RM8.52 juta berbanding RM8.22 juta sebelumnya.

Sementara itu, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, hasil Ge-Shen meningkat 23.4 peratus kepada RM320.53 juta berbanding RM259.77 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

PBT bagi tempoh berkenaan meningkat 9.6 peratus kepada RM29.86 juta daripada RM27.25 juta, manakala PAT kekal stabil pada RM22.07 juta.

Segmen Perkhidmatan Pembuatan Elektronik (EMS) dan Pemasangan terus menjadi penyumbang terbesar kepada hasil kumpulan, dengan sumbangan RM147.90 juta bagi tempoh sembilan bulan TK2026 berbanding RM96.75 juta sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Ge-Shen, Dr. Adrian Foong Hong Nian berkata, prestasi suku ketiga itu mencerminkan kemajuan berterusan kumpulan dalam melaksanakan transformasi ke arah aktiviti pembuatan bernilai lebih tinggi, terutama dalam aplikasi berkaitan AI, optik dan perindustrian.

Beliau berkata, pengembangan kapasiti yang dirancang juga sebahagian besarnya sudah diselesaikan, termasuk tambahan ruang bilik bersih seluas 10,000 kaki persegi di Local Assembly yang kini telah digunakan sepenuhnya oleh pelanggan.

“Perkembangan ini meletakkan kumpulan pada kedudukan lebih baik untuk menyokong program pembuatan yang lebih kompleks dan meningkatkan kedudukan kami dalam rantaian nilai industri,” katanya.

Sepanjang suku berkenaan, Ge-Shen turut menyelesaikan pengembangan kapasiti di Polyplas, Amity, Kibaru dan Local Assembly, selain meneruskan usaha mengoptimumkan susun atur pengeluaran, automasi serta keupayaan kejuruteraan.

Langkah itu dijangka meningkatkan keupayaan kumpulan dalam melaksanakan subpemasangan elektromekanikal yang lebih kompleks, penyelesaian pemasangan lengkap serta aktiviti pembuatan bernilai tinggi.

Mengulas prospek, Ge-Shen menjangkakan pembangunan infrastruktur AI dan pusat data akan terus menjadi pemacu pertumbuhan jangka panjang, didorong peningkatan permintaan terhadap sambungan berkelajuan tinggi, modul optik dan penyelesaian pembuatan termaju.

Kumpulan itu juga sedang memperluas penyertaan dalam sektor aeroangkasa dan pembuatan perindustrian mewah, di samping mengekalkan pendekatan berdisiplin terhadap pelaburan dan pengurusan kos bagi memastikan pertumbuhan yang mampan serta menguntungkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini