WASHINGTON: Nvidia mengarahkan rakan pengeluarannya menghentikan penghantaran pelayan ke empat negara Asia Tenggara ketika Washington memperketat sekatan terhadap akses China kepada kuasa pengkomputeran canggih, lapor Financial Times pada Khamis.
Dell dan Supermicro yang menghasilkan pelayan menggunakan cip syarikat itu memaklumkan pelanggan di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia bahawa Nvidia akan menyekat penghantaran berkenaan, menurut laporan itu yang memetik tiga sumber mengetahui perkara tersebut.
Tempoh penggantungan penghantaran itu masih belum diketahui.
Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (AS) minggu lalu memperkenalkan peraturan baharu yang mengehadkan akses kepada cip canggih melalui penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan.
Pembangun kecerdasan buatan (AI) China sebelum ini menyewa kapasiti pengkomputeran daripada penyedia perkhidmatan awan serantau yang mengendalikan pelayan dilengkapi cip Nvidia, termasuk cip yang tertakluk kepada kawalan eksport AS.
Mengikut peraturan baharu itu, penyedia perkhidmatan awan mempunyai tempoh 90 hari untuk mendapatkan lesen dengan membuktikan pengguna akhir mereka tidak terdiri daripada entiti yang dikenakan sekatan.
Seorang eksekutif industri pengkomputeran awan memberitahu Financial Times, penyedia perkhidmatan berkenaan masih belum menerima panduan mengenai cara memohon lesen tersebut.
Penghentian penghantaran itu turut menjejaskan projek penyedia perkhidmatan awan berpangkalan di Singapura, Aolani untuk menyewakan kapasiti pengkomputeran canggih kepada ByteDance, syarikat China yang memiliki TikTok, lapor Financial Times yang memetik dua sumber mengetahui perkara itu.
Beberapa pemberi pinjaman menghentikan penyaluran kredit berjumlah kira-kira AS$500 juta (RM2.05 bilion) yang sebelum ini dipersetujui untuk membiayai projek berkenaan, manakala ByteDance mungkin menarik diri daripada perjanjian itu, menurut laporan tersebut.
Akhbar itu melaporkan Nvidia enggan mengulas, manakala Dell, Supermicro, ByteDance dan Aolani tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas.











