Penganggur guna kod QR sendiri, tipu pelanggan pengurup wang RM2,783.90 - Utusan Malaysia

Penganggur guna kod QR sendiri, tipu pelanggan pengurup wang RM2,783.90

SEORANG penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini hari ini kerana menampal kod QR miliknya sendiri atas kod QR rasmi sebuah premis pengurup wang di Taman Johor Jaya, Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan menyalah guna wang RM2,783.90 milik pelanggan syarikat pengurup wang dengan menampal kod QR miliknya sendiri di atas kod QR rasmi premis berkenaan, Mac lalu.

Tertuduh, C. Narendran, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, A. Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menjadikan wang berjumlah RM2,783.90 milik seorang pelanggan perempuan berusia 32 tahun sebagai miliknya sendiri di sebuah premis di Jalan Dedap 13, Taman Johor Jaya, di sini pada pukul 1.17 petang, 9 Mac lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntuk penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta sebatan dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh telah menampal kod QR miliknya di atas kod QR rasmi syarikat pengurup wang itu tanpa kebenaran menyebabkan seorang bayaran seorang pengadu berjumlah RM2,783.90 dimasukkan ke dalam akaun tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain menetapkan tarikh 16 Oktober depan untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd. Sharifuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN