PETALING JAYA: Pemain perseorangan wanita negara, Eng Ler Qi mempamerkan kebangkitan untuk menewaskan wakil Hong Kong, Saloni Samirbhai Mehta pada hari pembukaan Kejohanan Badminton Allianz Malaysia Super 100 di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.
Ler Qi dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan ke atas Mehta dalam permainan yang berlanjutan sehingga ke rubber set 22-20, 19-21, 21-11.
Ler Qi berkata, dia sedikit gementar pada awal permainan selain mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang yang berangin sehingga menyukarkannya mencari rentak.
“Saya mengingatkan diri saya supaya tidak terburu-buru melakukan pukulan atau terlalu bimbang membuat kesilapan dan ia ternyata membantu saya mendapatkan semula keyakinan.
“Walaupun lawan masih mampu memulangkan pukulan itu, saya perlu terus mencuba dan tidak mengikut rentaknya,” katanya sewaktu ditemu bual selepas perlawanan berakhir.
Mengulas penyertaannya pada kejohanan itu, Ler Qi memberitahu, ini merupakan peluang terbaik untuk mengukur kemampuan apabila berdepan pemain yang memiliki ranking lebih tinggi.
Sementara itu, beberapa lagi wakil negara turut mencatat keputusan positif pada pusingan kelayakan.
Seorang lagi perseorangan wanita Malaysia, Shahidi Shaneesa menewaskan Juliana Zefanya Gabriela dari Venezuela 21-10, 21-11, manakala, Lim Zhi Shin mengetepikan pemain Thailand, Nattanan Kulamat 21-14, 8-21, 21-17.
Beregu wanita negara, Dania Sofea-Tan Zhing Hui pula mengalahkan rakan senegara, Lee Xin Jie-Low Yeen Yuan 21-13, 21-9, sementara beregu campuran Tan Zhi Yang-Teoh Mei Xing melakar kemenangan ke atas Beh Chun Meng-Karen Yun 21-9, 21-11.
Dalam pada itu, untuk aksi beregu lelaki, Chun Meng-Choi Jian Sheng turut mara selepas mengatasi Eason Lee-Xu Wong 21-10, 21-14, manakala satu lagi gandingan Malaysia, Juan Jeremy Zhen Liang-Lim Tze Jian menundukkan wakil Turki, Bugra Aktas-Emre Sonmez 21-16, 21-8.
Razeeq Danial turut meraih kemenangan dalam sektor perseorangan lelaki apabila menewaskan pemain Indonesia, Henrikho Wibowo Kho 23-21, 21-17.
Dalam satu lagi aksi beregu campuran, Juan Jeremy yang bergandingan dengan Yeen Yuan menundukkan pasangan India, Samarveer Samarveer-Vaishnavi Khadekar 20-22, 21-13, 21-14. – UTUSAN











