PETALING JAYA: Sebanyak 288 peserta bakal memeriahkan BSP Grand Prix Muaythai 2026 yang berlangsung selama dua hari di Hextar World @ Empire City Hall bermula esok.
Kejohanan anjuran BSP Muaythai Studio dengan kerjasama Hallo Fight Lab itu menghimpunkan 260 peserta amatur dan 28 petarung profesional, selain menampilkan 14 pertarungan profesional.
Ketua Pegawai Eksekutif BSP Muaythai Studio, Uwais Abdullah berkata, kejohanan berkenaan menjadi platform kompetitif untuk atlet muaythai tempatan selain membantu meningkatkan minat masyarakat terhadap sukan itu.
“Kejohanan ini bukan sahaja memberi peluang kepada atlet untuk menguji kemampuan dan menonjolkan bakat masing-masing, malah menjadi ruang untuk membina keyakinan, disiplin serta pengalaman bertanding di peringkat lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, kejohanan berkenaan turut menampilkan jaguh muaythai antarabangsa dari Thailand, Rodtang Jitmuangnon yang dijangka hadir memeriahkan acara.
Kehadiran bintang sukan tempur itu dijangka menjadi tarikan kepada peminat yang berpeluang beramah mesra dengannya menerusi slot Meet & Greet. – UTUSAN











