China intai jawatan Ketua WHO

China intai jawatan Ketua WHO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China dijangka mengemukakan calon pada saat-saat akhir bagi jawatan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), selepas Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada badan kesihatan antarabangsa itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Empat diplomat dan seorang sumber berkata, China merancang mencalonkan Song Li, pegawai kanan kesihatan awam yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang dasar kesihatan ibu dan kanak-kanak serta kerjasama antarabangsa, untuk menggantikan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beijing sejak sekian lama berusaha memainkan peranan lebih besar dalam agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan antarabangsa lain, ketika pentadbiran Presiden Donald Trump mengurangkan penglibatan dengan PBB serta beberapa organisasi di bawahnya.

Seorang sumber diplomatik berkata, pencalonan Song menunjukkan China mahu mengisi ruang yang ditinggalkan selepas AS mengurangkan penglibatan dalam WHO.

Agensi kesihatan PBB itu terpaksa melaksanakan penstrukturan semula secara besar-besaran selepas kehilangan penyumbang dana terbesar, termasuk mengurangkan aktiviti, jawatan pengurusan kanan serta ribuan pekerjaan.

Pentadbiran Trump berulang kali mengkritik cara WHO mengendalikan pandemik Covid-19 dan menuduh badan itu berat sebelah terhadap China, dakwaan yang dinafikan agensi kesihatan itu.

WHO akan mengeluarkan senarai lengkap calon selepas mesyuarat akhir jawatankuasa serantau, yang dijangka berlangsung pada awal November.

Bagaimanapun, enam calon dari Arab Saudi, Belgium, Qatar, Botswana, Indonesia dan Sepanyol sudah memilih untuk mendedahkan identiti mereka di laman sesawang WHO.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN