GEORGE TOWN: Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis tidak mempunyai kemampuan menyewa atau membeli kediaman baharu ekoran arahan pengusiran oleh pihak berkuasa kerajaan negeri Pulau Pinang.
Pengerusi Pertubuhan Penduduk Perumahan Rakyat Taman Manggis, Panir Selvam berkata, pihaknya merayu kerajaan negeri menangguhkan pengusiran terhadap penghuni yang dikenakan arahan keluar bagi memberi ruang kepada mereka untuk mendapatkan penempatan baharu yang lebih sesuai.
Katanya, tindakan pengusiran secara berperingkat itu menimbulkan kebimbangan khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40)
“Sebanyak lima unit kediaman telah dikenakan tindakan pengusiran minggu lalu, manakala tujuh lagi unit dikatakan telah dikosongkan dan disita bermula semalam.
“Tiga penghuni (keluarga) daripada lima unit yang diusir itu kini ditempatkan sementara di hotel dan sebuah pusat transit untuk tempoh tertentu kerana mereka tidak mempunyai tempat untuk tinggal manakala penghuni di ketujuh-tujuh unit yang dikosongkan semalam pula masih mencari tempat berteduh buat masa ini,” katanya ketika ditemui semalam.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam kenyataan menjelaskan tindakan penguatkuasaan yang dibuat terhadap lima unit PPR Taman Manggis itu disebabkan penghuninya tidak lagi memenuhi syarat kelayakan serta gagal memberi kerjasama dalam proses perpindahan.
Jelas beliau, PPR adalah perumahan transit untuk golongan yang layak dengan tempoh mendiami sehingga lima tahun kebiasaannya bagi memberi ruang kepada penghuni memperbaiki kedudukan kewangan sebelum berpindah ke kediaman lain.
Sementara itu, Panir memberitahu, ada penghuni yang hanya dimaklumkan mengenai tindakan penyitaan itu ketika mereka sedang bekerja selain mendakwa notis makluman sebelum tindakan penyitaan tidak dipasang seperti yang sepatutnya. – UTUSAN










