PETALING JAYA: Pasukan skuasy lelaki kebangsaan mara ke suku akhir selepas membenam Qatar 3-0 dan sekali gus menjuarai Kumpulan C pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun, hari ini.
Dengan formasi 3-1-2, perseorangan ketiga negara, Mohammad Syafiq Kamal terlebih dahulu turun ke gelanggang dan dia tidak berdepan masalah menewaskan wakil Qatar, Sayed Amjad 11-5, 11-3, 11-4 dalam masa 10 minit di Nagoya Kinjo-Futo Arena.
Ng Eain Yow yang baru sahaja dinobatkan selaku pemenang pingat emas perseorangan lelaki, semalam, juga mudah mengetepikan cabaran Salem Al-Malki 11-6, 11-5, 11-5 dalam masa 15 minit.
Kemenangan itu meletakkan Malaysia mendahului selesa 2-0 dan telahpun mengesahkan lebih awal sebagai juara Kumpulan C.
Namun, pemain muda negara, C. Ammeshanraj yang diletakkan sebagai perseorangan kedua tetap perlu beraksi dan dia melengkapkan kejayaan Malaysia 3-0 dengan kemenangan ke atas Ali Al-Darwish 11-7, 11-2, 11-1 dalam masa 14 minit. – UTUSAN











