PETALING JAYA: Sebanyak 33 kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Terengganu, Perak dan Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pagi ini.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan tertinggi iaitu 176, diikuti Cheras (173), Nilai (171) dan Shah Alam (170).
Turut merekodkan bacaan melebihi 160 ialah Pasir Gudang (169), Batu Muda (166), Putrajaya (165), Larkin (165), Seremban (164), Klang (163), serta Indera Mahkota dan Balok Baru di Kuantan, Pahang yang masing-masing mencatat bacaan 163.
Di Selangor, Petaling Jaya merekodkan bacaan 161, Banting (160), manakala Kuala Selangor mencatat 154.
Di Melaka pula, Bandaraya Melaka merekodkan bacaan 160, diikuti Bukit Rambai (156) dan Alor Gajah (136).
Johor antara negeri yang turut terjejas apabila beberapa stesen merekodkan bacaan tidak sihat, termasuk Kota Tinggi (160), Pengerang (155), Batu Pahat (154), Tangkak (152) dan Kluang (131), selain Pasir Gudang dan Larkin.
Sementara itu, Kuala Terengganu merekodkan bacaan 157, manakala Kemaman dan Paka masing-masing mencatat bacaan 154 dan 152.
Di Pahang, Rompin mencatat bacaan 152 dan Jerantut (132), selain Indera Mahkota dan Balok Baru di Kuantan.
Seri Manjung, Perak pula merekodkan bacaan 154 dan Tanjung Malim (146), manakala IPD Serian, Sarawak mencatat 140.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat dan boleh memberi kesan kepada golongan sensitif termasuk kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan dan jantung.
Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar, selain memakai pelitup muka jika perlu berada di kawasan terbuka dan mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara melalui laman sesawang APIMS. – UTUSAN










