TEHERAN: Dua lelaki dihukum gantung di Iran pada Rabu selepas didapati bersalah atas pertuduhan berkaitan protes antikerajaan yang tercetus susulan isu ekonomi dan memuncak pada Januari lalu.
Badan kehakiman Iran mengenal pasti kedua-duanya sebagai Ali Hemmati dan Majid Nik-Andish, yang didapati terlibat dalam rusuhan di bandar Mashhad, timur laut negara itu.
Menurut laman web badan kehakiman, Mizan Online, rusuhan berkenaan mengakibatkan empat anggota pasukan keselamatan terkorban.
Kedua-duanya turut didapati bersalah menyebabkan kerosakan besar terhadap harta awam, termasuk membakar kedai, bank dan bas serta pokok.
Mizan Online melaporkan kedua-duanya dihukum gantung pada awal Rabu selepas Mahkamah Agung mengesahkan hukuman berkenaan.
Protes yang tercetus pada akhir Disember itu pada awalnya berpunca daripada peningkatan kos sara hidup sebelum berkembang menjadi demonstrasi antikerajaan secara besar-besaran.
Demonstrasi berkenaan memuncak pada 8 dan 9 Januari.
Pihak berkuasa Iran melaporkan lebih 3,000 kematian dan menyifatkan keganasan itu berpunca daripada tindakan pengganas yang didalangi Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Bagaimanapun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpangkalan di luar Iran mendakwa pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.
Presiden AS, Donald Trump, ketika itu mengancam untuk campur tangan secara ketenteraan di Iran sebelum AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap republik Islam itu pada 28 Februari, sekali gus mencetuskan perang di Asia Barat.
Sejak itu, penahanan dan pelaksanaan hukuman mati meningkat di negara berkenaan, yang dikaitkan dengan konflik tersebut serta protes yang berlaku pada awal tahun ini.
Iran melaksanakan hukuman mati terhadap sekurang-kurangnya 1,639 orang pada 2025, jumlah tertinggi bagi mana-mana tahun sejak 1989, menurut NGO Iran Human Rights dan Together Against the Death Penalty.
Menurut Amnesty International, Iran merupakan negara dengan jumlah pelaksanaan hukuman mati kedua tertinggi di dunia selepas China.- AFP











