GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa membuat perancangan bagi menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah pesakit di hospital awam susulan kenaikan kos insurans kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Mahathar Abd. Wahab berkata, dalam hal ini, isu kenaikan premium insurans kesihatan ketika ini turut diberi perhatian melalui kerjasama antara KKM dan Kementerian Kewangan.
Menurutnya, kedua-dua kementerian berkenaan kini bekerjasama menerusi jawatankuasa bersama kementerian bagi melihat isu tersebut secara lebih menyeluruh.
”Semua maklum berkaitan dengan perkara ini. Itu sebab sekarang dua kementerian telah bekerjasama, Kementerian Kesihatan dan juga Kementerian Kewangan dalam jawatankuasa bersama kementerian bagi melihat perkara ini,” katanya selepas merasmikan Malaysian Trauma Conference (MTC) 2026, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kenaikan kos insurans kesihatan sehingga 20 peratus setahun semakin membimbangkan. Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI), Tan Sri Michael Yeoh berkata, peningkatan itu lebih ketara berbanding kenaikan caj sektor penjagaan kesihatan swasta yang berlaku dari tahun ke tahun.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada KKM mempunyai tindakan segera bagi meningkatkan fasiliti hospital awam sekiranya berlaku pertambahan jumlah pengguna, Mahathar berkata, perkara itu sememangnya sentiasa diberi perhatian.
”Memang sentiasa kita laksanakan. Sebab dalam perkhidmatan kesihatan, terutamanya di pihak sektor awam ini, dalam perancangan untuk harian kita dan untuk masa hadapan kita, ada kita panggil jangkaan apa yang akan berlaku dan sebagainya,” katanya.
Menurut beliau, unjuran berkenaan menjadi antara asas kepada perancangan serta sokongan kewangan kerajaan bagi memastikan keperluan perkhidmatan kesihatan dapat ditangani.
”Dari situlah akan berlakunya sokongan dari segi kewangan dan sebagainya kepada kerajaan untuk menangani perkara tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai langkah kerajaan menangani peningkatan kos rawatan dan insurans kesihatan, beliau berkata, antara usaha yang dilaksanakan ialah program MediAsas.
Katanya, aspek berkaitan insurans dan penetapan premium pula turut melibatkan agensi lain yang mempunyai bidang kuasa terhadap perkara berkenaan.
“Perkara-perkara sebeginilah yang saya sebutkan daripada awal tadi, ia melibatkan agensi-agensi lain dan kerjasama dengan agensi lain telah pun terlaksana untuk perkara tersebut,” katanya. – UTUSAN









