Skuad bola keranjang negara intai separuh akhir

Skuad bola keranjang negara intai separuh akhir

Malaysia sudah menjangkakan cabaran paling sukar di peringkat kumpulan adalah ketika berdepan juara bertahan, England.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bola keranjang 3×3 lelaki negara memasang impian untuk melangkah ke separuh akhir selepas menempah slot suku akhir Sukan Komanwel Glasgow 2026 hasil persembahan cemerlang di peringkat kumpulan.

Pengurus pasukan, Yeow Jie Xiang berkata, kejayaan muncul naib juara kumpulan memberikan suntikan moral yang cukup besar menjelang pertemuan getir menentang tuan rumah, Scotland, dalam aksi kalah mati, esok.

Menurutnya, Malaysia sudah menjangkakan cabaran paling sukar di peringkat kumpulan adalah ketika berdepan juara bertahan, England, namun anak buahnya tetap mempamerkan semangat juang tinggi biarpun berdepan kekurangan dari aspek fizikal.

“Kami tahu cabaran terbesar di peringkat kumpulan ialah England. Disebabkan kami mempunyai kekurangan dari segi saiz pemain, kami kekal dengan strategi menggunakan kepantasan dan ketepatan.

“Pasukan berjuang habis-habisan, namun kami tewas tipis 19-21,” katanya.

Bagaimanapun, Malaysia kembali bangkit apabila menewaskan Jamaica dengan aksi lebih bertenaga, termasuk mencatat lapan jaringan dua mata, sekali gus mengesahkan kedudukan selaku naib juara kumpulan.

Kemenangan itu bukan sahaja memastikan kemaraan ke suku akhir, malah membuktikan kemampuan skuad negara untuk bersaing dengan pasukan yang memiliki kelebihan fizikal.

Yeow percaya kekuatan mental akan menjadi faktor penentu apabila Malaysia turun menentang Scotland yang bakal mendapat sokongan padu penyokong sendiri.

“Kami mempamerkan prestasi yang luar biasa untuk mara ke suku akhir. Kini kami akan berdepan Scotland dan ketahanan mental akan memainkan peranan penting jika mahu melangkah ke separuh akhir,” katanya.

Aksi menentang Scotland pada hari ini dijangka menjadi ujian terbesar buat skuad negara dalam usaha meneruskan kemaraan dan mendekatkan diri dengan perebutan pingat di Glasgow.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN