JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini mengumumkan pembentukan kerjasama politik baharu yang dikenali sebagai ‘Blok Progresif’ bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
MUDA dan PSM dalam satu kenyataan bersama memberitahu, kedua-dua parti telah bersetuju bergerak secara bersama sepanjang kempen pilihan raya berkenaan.
“Pembentukan Blok Progresif ini akan mengetengahkan tawaran dasar yang bersifat ke depan dan berpaksikan kesejahteraan seluruh rakyat tanpa mengira kaum berlandaskan kerangka Perlembagaan Persekutuan.
“Fokus utama perjuangan pakatan ini akan bertumpu kepada lima tunjang dasar termasuk merangka langkah praktikal bagi penyelesaian isu kos sara hidup serta merangsang penawaran peluang pekerjaan berkualiti dengan jaminan gaji lebih baik,” menurut kenyataan itu.
Tambahnya, Blok Progresif turut memberi komitmen tterhadap agenda kelestarian alam sekitar, penyediaan perumahan mampu milik yang adil untuk segenap lapisan masyarakat, serta pelaksanaan reformasi institusi demi memperkasa tata kelola kerajaan yang telus.
“Bagi memastikan kelancaran gerak kerja di lapangan, kesepakatan tersebut turut mencakupi pelarasan dan koordinasi isu, pergerakan jentera kempen secara bersama, serta perancangan strategik dalam isu pembahagian kerusi.
“Kami terbuka untuk berbincang dan melibatkan mana-mana parti mahupun pihak lain yang berkongsi hasrat dan dasar progresif yang sama demi memajukan negeri terlibat.
“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Langkah ini diambil bagi mengelakkan pertembungan kerusi dalam kalangan parti-parti yang memperjuangkan agenda progresif,” tambah kenyataan itu.-UTUSAN










