HOUSTON: Pengendali Portugal, Roberto Martinez mengakui anak buahnya terlalu memikirkan impian menjulang Piala Dunia 2026 sehingga gagal menumpukan sepenuh perhatian ketika sekadar seri 1-1 dengan Republik Demokratik Congo (DR Congo) dalam aksi pembukaan Kumpulan K, awal pagi tadi.
Menurut Martinez, Portugal seharusnya memberi fokus untuk memenangi setiap perlawanan terlebih dahulu dan tidak membebankan diri dengan sasaran terlalu jauh.
“Kami tidak mencipta peluang yang mencukupi dan mungkin hilang keinginan untuk memburu gol kedua.
“Pemain perlu melepaskan beban di bahu mereka. Kami perlu fokus kepada setiap perlawanan, bukannya terlalu memikirkan soal memenangi Piala Dunia,” katanya.
Portugal bermula garang apabila mendahului seawal minit keenam menerusi tandukan Joao Neves yang menyempurnakan hantaran Pedro Neto.
Namun, DR Congo yang kembali beraksi di pentas Piala Dunia selepas 52 tahun tidak mudah mengalah apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Yoane Wissa pada masa kecederaan babak pertama.
Keputusan itu disifatkan jurulatih DR Congo, Sebastien Desabre sebagai detik bersejarah buat pasukannya selepas meraih gol dan mata pertama dalam saingan Piala Dunia.
Sementara itu, kapten Portugal, Cristiano Ronaldo yang membuat penampilan keenam di Piala Dunia turut gagal memanfaatkan dua peluang terbaik yang dimilikinya pada babak kedua.
Keputusan seri itu menyaksikan Portugal kini berdepan tekanan untuk bangkit apabila bakal menentang Uzbekistan dan Colombia dalam baki dua aksi kumpulan, jika tidak mahu impian mereka terhenti lebih awal.-AGENSI










