Mancini janji pacu Itali kembali julang piala

Mancini janji pacu Itali kembali julang piala

Roberto Mancini dilantik sebagai pengendali skuad kebangsaan Itali. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROME: Roberto Mancini kembali memikul tanggungjawab besar untuk menghidupkan semula kegemilangan bola sepak Itali apabila bertekad membawa Azzurri kembali menjulang trofi utama selepas beberapa tahun bergelut di pentas antarabangsa.

Pengendali berusia 61 tahun itu, mengakui sasaran utamanya adalah mengembalikan mentaliti kemenangan dalam skuad kebangsaan yang kini berdepan tekanan hebat susulan kegagalan layak ke tiga edisi Piala Dunia berturut-turut.

Mancini menyuarakan hasrat tersebut pada sidang media pertamanya selepas diperkenalkan secara rasmi sebagai ketua jurulatih baharu Itali bagi menggantikan Gennaro Gattuso yang meletakkan jawatan selepas kekalahan kepada Bosnia-Herzegovina dalam final playoff kelayakan Piala Dunia, Mac lalu.

Bekas jurulatih Manchester City dan Inter Milan itu bukanlah nama asing buat penyokong Itali selepas pernah membimbing pasukan berkenaan dari 2018 hingga 2023, termasuk menghadiahkan kejuaraan Euro 2020 yang menjadi detik kebangkitan paling manis buat Azzurri dalam dekad lalu.

Mancini kembali ke pangkuan Itali menerusi kontrak selama empat tahun dan dia mahu mencipta satu lagi era kejayaan bersama negara yang dianggapnya cukup istimewa.

“Saya berharap dapat memenangi satu lagi trofi, mungkin dua. Matlamat saya adalah memastikan pasukan ini segera kembali berada di landasan kemenangan,” katanya.

Pelantikan Mancini dibuat selepas dia dipilih mengatasi seorang lagi calon berprofil tinggi, Antonio Conte, dalam usaha Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) mencari individu terbaik untuk memulihkan reputasi pasukan.

Walaupun pernah meninggalkan Itali secara mengejut pada 2023 bagi menerima tawaran mengendalikan Arab Saudi, Mancini menegaskan hubungannya dengan Azzurri tidak pernah terputus dan dia mahu mengembalikan semula kepercayaan penyokong terhadap pasukan itu.

Selain pelantikan Mancini, FIGC turut mengumumkan kemasukan Claudio Ranieri sebagai pengarah teknikal baharu bagi membantu memperkukuhkan struktur pasukan kebangsaan dalam usaha membina semula sebuah pasukan yang mampu mengembalikan Itali ke kelompok elit bola sepak dunia. – AFP/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN