Integriti asas pematuhan cukai

Integriti asas pematuhan cukai

KERJASAMA kerajaan dan rakyat penting untuk mengurangkan ketirisan serta menyokong pembangunan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUTIPAN cukai merupakan sumber penting bagi kerajaan membiayai pembangunan negara, termasuk sektor kesihatan, pendidikan, pertanian, industri, keselamatan, kebajikan dan infrastruktur awam.

Di Malaysia, cukai terbahagi kepada dua kategori utama, iaitu cukai langsung yang diuruskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cukai tidak langsung yang dikendalikan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurut LHDN, kutipan cukai langsung meningkat daripada RM175.4 bilion pada 2022 kepada RM183.34 bilion pada 2023 dan RM184.81 bilion pada 2024. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Peningkatan ini menunjukkan kepentingan hasil cukai dalam menyokong kewangan negara. Oleh itu, usaha meningkatkan pematuhan serta mengurangkan ketirisan perlu diteruskan bagi memastikan pembangunan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Seiring perkembangan teknologi, kerajaan memperkenalkan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) mulai 1 Januari 2022 kepada individu berumur 18 tahun ke atas. Pendaftaran boleh dilakukan melalui sistem e-Daftar di portal MyTax atau MyCoID bagi syarikat.

Platform MyTax turut memudahkan pembayar cukai mengakses pelbagai perkhidmatan, termasuk pembayaran dan penghantaran borang secara dalam talian.

Pelaksanaan e-Invois pula membantu meningkatkan ketelusan transaksi serta pematuhan cukai dalam kalangan perniagaan.

Walau bagaimanapun, kemudahan digital perlu disertai kesedaran tentang tanggungjawab membayar cukai dengan tepat dan mengikut tempoh ditetapkan. 

Pembayar cukai juga perlu menyimpan dokumen berkaitan selama tujuh tahun seperti yang dikehendaki.

Selain teknologi, nilai integriti memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat pendapatan dilaporkan dengan jujur. Penipuan dan manipulasi dokumen boleh menyebabkan kehilangan hasil negara, sekali gus menjejaskan keupayaan kerajaan menyediakan kemudahan awam.

Pendidikan etika sejak di universiti dapat membentuk bakal akauntan yang bertanggungjawab. 

Kajian terhadap 224 pelajar universiti tempatan mendapati lebih 95 peratus responden tidak bersetuju dengan tindakan mengubah atau memalsukan maklumat cukai bagi membantu saudara terdekat. 

Dapatan ini menunjukkan kesedaran etika yang positif dan perlu dipupuk secara berterusan sehingga ke alam pekerjaan.

Ini bermakna, teknologi yang mesra pengguna dan pendidikan etika perlu bergerak seiring bagi meningkatkan pematuhan cukai. 

LHDN juga boleh memperluas pendidikan melalui media sosial supaya masyarakat lebih memahami tanggungjawab mereka. 

Kejujuran setiap pembayar cukai penting untuk mengurangkan ketirisan, mengukuhkan kewangan negara dan menyokong pembangunan Malaysia. –UTUSAN

 

DR. SOLIHA SANUSI 

Pensyarah Kanan,

Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, 

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini