Jaslinda ditemukan selamat selepas 15 hari hilang

Jaslinda ditemukan selamat selepas 15 hari hilang

GAMBAR tular keadaan Jaslinda Saludin yang dikatakan ditemukan oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh yang kemudian menghubungi pihak berkuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 15 hari lalu, ditemukan dalam keadaan selamat semalam, sekaligus menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sejak hampir dua minggu lalu.

Penemuan mangsa itu disahkan oleh Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, kenyataan media rasmi berhubung kejadian itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi menjelaskan butiran lanjut penemuan tersebut.

Difahamkan, Jaslinda ditemukan oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh sebelum pihak berkuasa dimaklumkan mengenai penemuan berkenaan dan keadaan mangsa dilaporkan stabil, namun masih berada dalam pemerhatian pihak bertanggungjawab.

Terdahulu, gambar dipercayai memaparkan Jaslinda berada di sebuah rumah komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai yang mengikuti perkembangan kes tersebut.

Operasi SAR mengesan Jaslinda diaktifkan pada 25 Mei lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.

Dalam kejadian itu, Jaslinda difahamkan mengalami kece­deraan di kaki sebelum berhenti rehat bersama seorang pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas seorang lagi pendaki mengalami masalah pernafasan.

Bagaimanapun, beliau kemudian dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak sebelum gagal dikesan.

Sementara itu, Pengarah Ja­batan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mangsa ditemukan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

“Mangsa ditemui oleh Nazri a/l Bah Eng lebih kurang pada pukul 3 petang. Nazri memaklumkan kepada anak saudaranya yang berada di Johor untuk melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa,” katanya.

Keluarga mangsa menaruh harapan tinggi dengan mengadakan solat hajat di kaki gunung semalam selain merayu orang ramai supaya mendoakan keselamatan Jaslinda.

Anak sulungnya, Nurin Darwisyah Mohd. Faizal, 26, bersama adiknya Dhia Damia, 21, hadir ke lokasi semalam bagi menunaikan solat hajat bersama bapa tiri Haszman Othman, 61, di kaki Gunung Batu Putih.

Pasukan SAR turut menemukan beberapa barangan di lokasi berbeza sepanjang pencarian namun disahkan bukan milik Jaslinda.

Pada masa sama lima anggota terdiri daripada Jabatan Perhutanan dan Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan kumpulan komuniti Orang Asli berada di sektor pencarian bagi meneruskan usaha mencari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×