TAPAH: Keluarga Jaslinda Saludin tidak memaafkan individu mengaibkan dan memfitnah wanita itu dalam media sosial berkait kehilangannya selama dua minggu akibat tersesat di Gunung Batu Putih di sini.
Suami Jaslinda, Haszman Othman berkata, dia telah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah semalam terhadap seorang pemilik akaun media sosial yang didakwa memfitnah isterinya dengan menyatakan Jaslinda yang hilang sebenarnya ‘melepak’ di rumah tok batin.
Katanya, tuduhan itu keterlaluan, mengaibkan keluarganya dan mahu tindakan undang-undang dikenakan terhadap individu tersebut.
“Kami tak akan tarik balik laporan polis dibuat dan tidak akan memaafkan individu berkenaan kerana membuat kenyataan fitnah dan mengaibkan.
“Biar ia menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya berhati-hati apabila membuat kenyataan.
“Kami berharap polis melakukan siasatan segera dan mengesan individu terlibat. Tindakannya yang menyatakan Jaslinda hilang sebenarnya ‘melepak’ di rumah tok batin melaga-lagakan Orang Asli dan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Individu tersebut tampil membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap kenyataan dibuat dalam media sosial.
Dia mengakui kesilapannya selepas siaran langsung berkenaan menimbulkan salah faham dan mengguris perasaan individu dan komuniti terlibat.
Sementara itu, masyarakat Orang Asli di sini membuat laporan di IPD Tapah kelmarin berhubung dakwaan yang tular dalam media sosial terhadap Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Mohd Asmmadi Abdullah, berhubung penemuan Jaslinda.
Tok Batin Kampung Lata Kinjang, Rani Bah Ulin berkata, laporan itu berikutan video seorang pengguna media sosial yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas sehingga mencemarkan nama baik Mohd Asmmadi serta institusi kebatinan Orang Asli.
Rani dilaporkan berkata, pihaknya kesal dengan tuduhan kononnya Mohd. Asmmadi menyembunyikan Jaslinda sepanjang tempoh kehilangan wanita itu sebelum ditemukan penduduk Orang Asli.
Dakwaan tidak berasas itu mengguris perasaan masyarakat Orang Asli dan penghinaan bukan sahaja terhadap Tok Batin Asmmadi tetapi juga kepada seluruh institusi kebatinan.
Sebelum ini, tular satu video dalam media sosial TikTok, mendakwa Jaslinda telah ‘disimpan’ oleh tok batin selama dua minggu dan jika perkara terbabit tidak tular berkemungkinan tok batin akan berkahwin dengan Jaslinda. – UTUSAN









