Buli siber: Pernah ada yang menggelar saya ‘betina iblis’ -Liyana Jasmay - Utusan Malaysia

Buli siber: Pernah ada yang menggelar saya ‘betina iblis’ -Liyana Jasmay

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah filem Pemuja Syaitan, Liyana Jasmay, meluahkan rasa kesal terhadap budaya buli siber yang semakin berleluasa dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya di platform Threads.

Menurut Liyana, dia tertanya-tanya mengapa semakin ramai individu sanggup melemparkan kata-kata kesat dan hinaan melampau terhadap orang lain tanpa memikirkan kesan perbuatan berkenaan.

Malah, dia sendiri pernah menjadi sasaran komen berbaur penghinaan apabila seorang pengguna Threads menggelarnya dengan panggilan ‘betina iblis’.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenapa ramai sangat orang kena buli dalam Threads? Hinaan itu melampau. Saya sendiri pernah menerima komen daripada seseorang yang menggelar saya ‘betina iblis’ di platform ini. Awak okey?” katanya di Threads.

Liyana berpendapat, tindakan segelintir pengguna yang mudah menghamburkan kata-kata kesat mungkin menggambarkan tekanan emosi yang sedang mereka hadapi.

Sehubungan itu, dia menasihatkan pengguna media sosial yang sukar mengawal emosi dan tingkah laku ketika berada di alam maya supaya mengambil langkah menjauhkan diri daripada platform berkenaan demi kesejahteraan diri.

“Makian yang dilemparkan dalam Threads menunjukkan ramai orang mungkin sedang berada dalam tekanan. Lebih baik mereka yang tidak mampu mengawal jari dan emosi berehat seketika daripada media sosial supaya hidup lebih bahagia.

“Kadang-kadang, apabila timbul perasaan cemburu ketika sedang menatal media sosial atau terasa ingin mengeluarkan kata-kata buruk, cepat-cepat tekan butang ‘senyapkan’ atau ‘tidak berminat’. Kalau tidak berkaitan dengan kita, lebih baik teruskan sahaja dan jangan ambil peduli,” katanya.

Liyana turut mengingatkan pengguna agar lebih bijak mengawal emosi serta tidak menjadikan media sosial sebagai ruang untuk melepaskan kemarahan atau perasaan tidak puas hati terhadap orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini