WASHINGTON: Senator terpilih Amerika Syarikat (AS), Abdul El-Sayed, menubuhkan jawatankuasa tindakan politik dikenali sebagai Habibi PAC, beberapa hari selepas memenangi pilihan raya Senat, sekali gus menandakan hasratnya untuk terus aktif dalam politik Parti Demokrat.
Menurut laporan The Hill semalam, dokumen yang difailkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC) menunjukkan El-Sayed, wakil Demokrat dari Michigan, menubuhkan jawatankuasa tindakan politik kepimpinan (PAC) yang berasingan daripada kempen pilihan rayanya.
Jawatankuasa itu bertujuan mengumpul dana bagi menyokong sekutu politiknya.
Nama Habibi PAC diambil daripada perkataan Arab ‘Habibi’ yang bermaksud ‘yang tersayang’. Ungkapan itu sering digunakan sepanjang kempen El-Sayed dan dalam kalangan penyokongnya.
Beliau turut menggunakan panggilan Habibi ketika menyampaikan ucapan kemenangan dengan merujuk kepada Naib Presiden AS, JD Vance.
“JD, habibi,” katanya sebelum menyatakan bahawa Vance, mengikut perlembagaan, perlu mengangkat sumpah jawatannya pada Januari depan.
Sepanjang kempen, El-Sayed secara terbuka mengetengahkan identiti Islam, namun turut berdepan serangan berulang berhubung agamanya, termasuk daripada Presiden Donald Trump yang melabelkannya sebagai jihadis.
Calon Republikan, Mike Rogers, turut cuba mengaitkannya dengan kumpulan ekstremis meskipun tiada hubungan sedemikian dibuktikan.
El-Sayed menang dengan majoriti besar di Michigan, negeri yang mempunyai pengaruh penting dalam politik AS dan berpotensi memainkan peranan dalam pilihan raya presiden 2028.- ANADOLU











