TAPAH: Pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas dua minggu hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, dibenarkan keluar dari Hospital Tapah hari ini setelah dirawat sejak Sabtu lalu.
Pengarah Hospital Tapah, Dr. Wan Immi Salim berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan terakhir terhadap wanita itu sebelum dibenarkan keluar.
Jaslinda dibenarkan keluar dari Wad Perempuan, Hospital Tapah di sini kira-kira pukul 1.50 petang tadi.
Menurut Jaslinda, perkara pertama yang ingin dilakukannya ialah balik ke rumah di Damansara untuk berehat.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana mendoakan keselamatan saya. Balik ke rumah tidur, berehat dahulu. Kenyataan-kenyataan itu kemudian saya beritahu. Benda-benda yang dengar itu semua fitnah,” katanya.
Dia dibawa pulang ke kediamannya dipercayai di Damansara menaiki kereta Honda City berwarna hitam yang dipandu suaminya, Haszman Othman, 61. – UTUSAN










