CYBERJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pendaki wanita, Jaslinda Saludin yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, lapan lagi anggota bomba dihantar ke lokasi pencarian pagi ini bagi membolehkan proses penggiliran petugas dilaksanakan.
Katanya, seramai 50 anggota daripada pelbagai agensi kini berada di lokasi bagi membantu operasi SAR yang masih diteruskan.
“Berdasarkan pengalaman pasukan penyelamat dan keadaan persekitaran di kawasan gunung yang berbeza daripada operasi di laut, masih belum tiba masanya untuk membuat keputusan menghentikan pencarian.
“Operasi pencarian masih diteruskan dan akan terus dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas Program Qurban Kasih Bersama Warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JBPM dan Parlimen Sepang di sini, hari ini.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian bersama 13 individu lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) dalam ekspedisi Trans Spencer Chapman yang bermula pada pukul 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Beliau dan seorang lagi pendaki, Mohd. Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti berehat sebelum Jaslinda meneruskan perjalanan ke puncak gunung.
Mangsa kali terakhir dilihat oleh MGP pada pukul 7.30 pagi, 24 Mei lalu. – UTUSAN










