MELAKA: Sebanyak 51 projek pembangunan yang didakwa terbengkalai di Melaka bukan hanya berpunca daripada pentadbiran kerajaan negeri ketika ini sebaliknya turut diwarisi daripada beberapa kepimpinan Ketua Menteri terdahulu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan projek pembangunan mengambil tempoh panjang dan merentasi beberapa pentadbiran negeri termasuk ketika negeri itu diterajui Pakatan Harapan (PH).
Katanya, perkara itu perlu difahami sebelum mana-mana pihak meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada kerajaan negeri semasa berhubung isu projek terbengkalai berkenaan.
“Perjalanan projek ini adalah satu perjalanan yang terlalu panjang. Ia diwarisi dari satu Ketua Menteri kepada satu Ketua Menteri, termasuk sahabat kita yang pernah menjadi Ketua Menteri, sahabat sebelah sana (PH),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek di Taman Tambak Paya Harmoni, di sini hari ini.
Yang turut hadir, calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Ridzuan Sharif dan calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.
Sebelum ini, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari mendesak projek terbengkalai termasuk Monorel Melaka yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM16.5 juta dan pembangunan Arab City dinilai semula bagi menentukan hala tuju pemulihannya.
Adly berkata, rakyat berhak mengetahui jumlah perbelanjaan, pihak yang bertanggungjawab serta kedudukan aset berkenaan tanpa mengira pentadbiran yang meluluskan projek terbabit.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Setiausaha Agung PKR, G Sivamalar turut menuntut penjelasan mengenai status 55 projek pembangunan negeri yang dilaporkan belum dimulakan pada Jun 2025, termasuk jumlah yang sudah disiapkan atau masih tertangguh.
Tambah Ab Rauf, projek pembangunan di negeri itu melibatkan pelbagai kategori termasuk projek kerajaan Persekutuan dan inisiatif pelaburan swasta yang mempunyai kaedah pelaksanaan berbeza.
Katanya, projek Persekutuan diselaraskan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri manakala projek swasta bergantung kepada kemampuan kewangan syarikat yang diberikan konsesi.
Beliau mengambil contoh projek Monorel Melaka dan pembangunan tambak laut yang disifatkan sebagai inisiatif swasta namun berdepan masalah pelaksanaan susulan kekangan kewangan pelabur.
“Kebanyakan projek terbengkalai di Melaka seperti Monorel dan projek tambak laut adalah inisiatif swasta yang diberikan konsesi kepada syarikat yang mahu melabur di Melaka.
“Mungkin mereka tidak mempunyai keupayaan kewangan selepas melalui beberapa proses kejatuhan ekonomi dunia yang menyebabkan projek itu terbengkalai,” katanya.
Bagaimanapun, Ab Rauf berkata, beliau tidak berminat mencari kesalahan pentadbiran terdahulu, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti punca dan memulihkan projek yang bermasalah.
“Saya sudah berjanji tidak mahu mencari salah orang dan kita faham masalah itu berada di mana. Mungkin tiada bajet lagi atau tidak dapat diurus dengan baik sehingga menjadi projek sakit,” katanya.
Beliau memberi jaminan usaha memulihkan projek terbengkalai akan diteruskan secara berperingkat mengikut kesesuaian ekonomi semasa sekiranya BN diberikan mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sementara itu, Ab Rauf memaklumkan manifesto BN dan Perikatan Nasional (PN) Melaka akan dilancarkan pada pukul 5 petang Jumaat ini, 6 November di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). -UTUSAN











