Trauma tumpul pada kepala, leher mayat lelaki di Sungai Kinta - Utusan Malaysia

Trauma tumpul pada kepala, leher mayat lelaki di Sungai Kinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala dan leher dikesan pada mayat lelaki yang dihanyutkan arus Sungai Kinta berhampiran Jambatan Menara Tanjak, di sini Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Superintenden Rasyidi Harun berkata, hasil bedah siasat bagaimanapun mengesahkan lelaki warga tempatan itu meninggal dunia akibat lemas.

Katanya, mangsa dipercayai lelaki berbangsa India berusia lingkungan 40-an dan ke atas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mayat ditemukan orang awam pada pukul 6.01 petang. Ketika ditemukan, mangsa memakai jersi merah putih tertera tulisan Mizuno, seluar panjang hitam dan tali pinggang berwarna hijau.

“Mayat mangsa kemudian dibawa naik ke tebing sungai berhampiran Jambatan Kampung Pisang dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, cap jari mangsa telah dihantar ke Bukit Aman untuk pengesahan identiti manakala hebahan media turut dibuat bagi mengesan waris atau ahli keluarga mangsa.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau mengenali mangsa diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Lukman Ismail di talian 013-4064006.

“Maklumat juga boleh disalurkan kepada Balai Polis Batu Gajah di talian 05-3629133 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di talian 05-3629050,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini