NASHVILLE: Kapten baharu Jepun, Ko Itakura, menegaskan semangat berpasukan Samurai Biru perlu terus diperkukuh menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang Belanda di Dallas, Ahad ini, meskipun persiapan sedikit terganggu tanpa kehadiran bekas kapten, Wataru Endo.
Pertahanan Ajax berusia 29 tahun itu berkata, satu mesyuarat pasukan melibatkan semua 26 pemain termasuk pengganti Endo, Shuto Machino, akan diadakan sebaik tiba di Dallas bagi memastikan fokus dan penyelarasan pasukan berada pada tahap terbaik.
“Kami menjalani latihan yang baik dan berintensiti tinggi. Suasana pasukan juga semakin positif, namun masih banyak yang boleh diperbaiki dari segi semangat kolektif,” katanya selepas sesi latihan di kem di Nashville, Tennessee.
Daripada 26 pemain yang disenaraikan pengendali Hajime Moriyasu, hampir separuh bakal membuat penampilan pertama di pentas Piala Dunia, sekali gus menjadikan aspek komunikasi dan kepimpinan antara tumpuan utama pasukan.
Itakura yang turut beraksi pada edisi lalu di Qatar menegaskan pemain berpengalaman perlu memainkan peranan penting bagi membimbing muka baharu dalam skuad.
“Saya mahu mengurangkan kebimbangan sebelum perlawanan pertama dan memastikan semua pemain berada pada halaman yang sama. Pemain senior perlu mewujudkan suasana seperti di kejohanan lalu kerana hanya mereka yang pernah mengalaminya memahami situasi sebenar,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menekankan aspek pertahanan perlu diperkemaskan sepenuhnya sebelum berdepan Belanda di Stadium Dallas.
“Kami tidak boleh memberi ruang kepada mereka untuk mengeksploitasi kelemahan kami. Analisis terhadap pemain lawan sudah dilakukan, dan kami telah berlatih untuk menanganinya.
“Perincian kecil akan menentukan keputusan perlawanan. Sebelum bercakap tentang taktikal, asas seperti duel satu lawan satu dan perebutan bola kedua mesti dikuasai,” katanya.
Jepun, yang dikenali sebagai Samurai Biru, pernah bertemu Belanda pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan apabila tewas 0-1 dalam aksi peringkat kumpulan.-AGENSI










