LOS ANGELES: FIFA mengesahkan pengadil Australia, Shaun Evans tidak melakukan sebarang kesalahan selepas disiasat susulan dakwaan membuat isyarat tangan yang dikaitkan dengan fahaman supremasi kulit putih ketika Piala Dunia 2026.
Kontroversi itu tercetus selepas Evans yang bertugas sebagai pembantu pengadil video (VAR) dalam perlawanan Jerman menentang Curacao dirakam membentuk bulatan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk tangan kanannya.
Rakaman tersebut tular di media sosial apabila beberapa pengguna mendakwa isyarat berkenaan mempunyai kaitan dengan kumpulan pelampau berhaluan kanan sehingga memaksa FIFA membuka siasatan.
Bagaimanapun, badan induk bola sepak dunia itu menegaskan tiada bukti yang menunjukkan Evans melanggar Kod Disiplin FIFA sepanjang menjalankan tugasnya.
Dalam satu kenyataan, FIFA berkata siasatan yang dijalankan Jawatankuasa Tatatertib Bebas mendapati dakwaan terhadap pengadil berusia 39 tahun itu tidak berasas.
“Jawatankuasa Tatatertib Bebas FIFA mengesahkan selepas meneliti perkara melibatkan pembantu pengadil video, Shaun Evans, tiada bukti ditemui yang menunjukkan berlaku pelanggaran Kod Disiplin FIFA.
“Sehubungan itu, beliau dibersihkan daripada sebarang salah laku berkaitan insiden tersebut,” kata badan induk berkenaan.
Sementara itu, Evans mengakui pergerakan tangannya itu berlaku secara tidak sengaja dan beliau sendiri tidak menyedari perkara tersebut ketika siaran langsung berlangsung.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak berniat membuat sebarang isyarat atau simbol untuk menyampaikan mesej, menunjukkan sokongan, bermain permainan atau mempercayai apa-apa fahaman tertentu.
“Satu-satunya penjelasan yang boleh saya berikan ialah ia merupakan pergerakan spontan di luar kawalan dan saya langsung tidak menyedarinya ketika itu,” katanya. – AGENSI










