FLORIDA: Prestasi England belum cukup menyakinkan biarpun menang 1-0 ke atas New Zealand hasil jaringan Harry Kane dalam aksi persahabatan, semalam.
The Three Lions kelihatan bergelut di semua bahagian, namun kemenangan itu tetap memberikan suntikan moral terbaik sebelum Piala Dunia 2026 bermula.
Kane mencetak gol ke-79 antarabangsa apabila menolak masuk hantaran lintang Djed Spence pada masa kecederaan separuh masa pertama, sekali gus memisahkan kedua-dua pasukan.
England yang berada jauh di ranking dunia berbanding New Zealand bergelut mencipta peluang bersih meskipun mendominasi penguasaan bola sepanjang perlawanan.
Ketua jurulatih Thomas Tuchel melakukan rombakan dengan menurunkan kesebelasan berbeza bagi setiap separuh masa, namun ia tidak banyak membantu perubahan berlaku.
“Kami di sini lebih kepada persiapan berbanding keputusan. Saya berada dalam tahap terbaik karier saya.
“Tenaga sudah ada, kualiti akan menyusul. Lagi kuat lawan, lagi kuat kami,” kata Kane selepas perlawanan.
Ivan Toney hampir menambah jaringan selepas masuk menggantikan Kane, namun jaringannya dibatalkan selepas semakan ofsaid.
England yang berstatus antara pilihan kejuaraan akan membuka kempen Piala Dunia menentang Croatia pada 17 Jun, sebelum berdepan Ghana dan Panama dalam Kumpulan L sementara New Zealand pula berada dalam Kumpulan G bersama Iran, Belgium dan Mesir.-AGENSI










