ARLINGTON: Jude Bellingham mengakui dia sentiasa membawa semangat untuk membuktikan kemampuannya setiap kali turun beraksi dan gol penting ketika membantu England menewaskan Croatia 4-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan L Piala Dunia menjadi jawapan terbaik buat pengkritiknya.
Pemain tengah Real Madrid itu menjaringkan gol ketiga England dua minit selepas babak kedua bermula ketika kedudukan terikat 2-2, sekali gus membuka laluan buat skuad kendalian Thomas Tuchel meraih kemenangan meyakinkan di Texas.
“Saya memang mempunyai sedikit rasa mahu membuktikan sesuatu.Bagi saya secara peribadi, ia satu perasaan yang baik kerana dapat mengetepikan segala bunyi bising dan menunjukkan kepada negara saya serta rakan sepasukan betapa komitednya saya untuk membantu pasukan memenangi perlawanan,” katanya.
Pemain berusia 22 tahun itu diberi kepercayaan oleh Tuchel untuk menggalas peranan nombor 10 dalam kesebelasan utama, mengatasi Morgan Rogers dan membalas kepercayaan tersebut dengan aksi cemerlang.
Bellingham yang dijangka menjadi tonggak utama England dalam misi memburu trofi utama pertama sejak Piala Dunia 1966 mengakui musim lalu bukanlah tempoh yang mudah buatnya.
“Musim ini agak sukar bagi saya.Tetapi saya datang ke sini dengan keadaan segar, tajam, kuat dan bersedia memberikan segala-galanya,” ujarnya.
Menurut Bellingham, kritikan yang diterimanya selama ini tidak pernah dianggap sebagai sesuatu yang negatif, malah menjadi pembakar semangat untuk tampil lebih baik.
“Saya faham itu sebahagian daripada kehidupan sebagai pemain bola sepak.Saya tidak menyimpan dendam terhadap mereka yang mengkritik saya kerana ada masanya saya memang layak dikritik.
“Tetapi hari ini saya gembira dapat mengingatkan orang ramai tentang kemampuan sebenar saya,” katanya.
Sementara itu, Tuchel menyifatkan Bellingham sebagai pemain yang layak berada dalam kesebelasan utama, namun menegaskan pemain itu perlu mengekalkan prestasi sama sepanjang kejohanan.
“Dia pemain yang sangat baik dan memang layak diturunkan.Itulah yang perlu dilakukannya, berjuang untuk mendapatkan tempat dan mengekalkan tempat itu. Dia berjaya melakukannya dan saya berpuas hati dengan persembahannya,” kata Tuchel.-AGENSI










