DUBAI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) didakwa melancarkan puluhan serangan udara terhadap Iran semasa perang Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas republik Islam itu, sekali gus mendedahkan penglibatan lebih besar daripada yang diketahui sebelum ini.
Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), operasi ketenteraan itu didakwa bermula sejak hari-hari permulaan konflik dan berterusan walaupun selepas gencatan senjata diumumkan pada April.
Laporan itu menyatakan, UAE bertindak sebagai pihak ketiga dalam kempen ketenteraan tersebut bersama AS dan Israel, menerusi operasi yang dipercayai diselaraskan dengan sokongan perisikan daripada Washington serta Tel Aviv.
Antara sasaran serangan termasuk beberapa lokasi strategik di Pulau Qeshm dan Pulau Abu Musa di Selat Hormuz, Bandar Abbas, kilang penapisan minyak di Pulau Lavan serta kompleks petrokimia Asaluyeh.
Beberapa serangan dilaporkan mengenai kemudahan tenaga Iran, dengan satu insiden di Asaluyeh mencetuskan kecaman antarabangsa, selain mendorong Washington menggesa Israel menghentikan serangan ke atas infrastruktur berkenaan.
Sebelum konflik itu, negara-negara Teluk secara terbuka menegaskan tidak akan membenarkan wilayah atau ruang udara mereka digunakan untuk sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Namun, laporan WSJ mendakwa Abu Dhabi meninggalkan pendirian itu seawal permulaan perang.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas bandar, lapangan terbang serta infrastruktur tenaga di Teluk dalam usaha meningkatkan kos kempen tersebut.
UAE menjadi negara yang paling banyak menerima kesan serangan, dengan lebih 2,800 peluru berpandu dan dron dilancarkan ke arah negara itu.
Penglibatan UAE juga dilaporkan memperdalam perpecahan dalam kalangan negara Teluk.
Konflik itu turut mendedahkan ketegangan antara pemimpin Teluk, apabila sumber rasmi yang dipetik WSJ mendakwa Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed kecewa terhadap Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman selepas Riyadh enggan menyertai tindakan ketenteraan yang diselaraskan terhadap Iran.- AGENSI










